Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan diiringi Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan timbalannya, Adam Adli Abd Halim di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Foto MALAYSIA GAZETTE, 30 MEI 2023.

PUTRAJAYA – Kerajaan menubuhkan jawatankuasa peringkat tertinggi (HLC) untuk memastikan langkah mereformasikan sukan.

Jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, jawatankuasa tersebut merupakan peneraju Pembangunan Bakat Sukan Berprestasi Tinggi yang akan memberi tumpuan kepada model pembangunan bakat bagi sukan tempur, olahraga dan renang.

Katanya lagi, jawatankuasa berkenaan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan juga akan mencungkil bakat dalam kalangan anggota tentera dan penguat kuasa melalui Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Fokus yang saya nyatakan tadi adalah bagi pembangunan bakat sukan berprestasi tinggi dan ia komitmen pelbagai kementerian,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan di Perdana Putra hari ini.

Ahmad Zahid berkata, mesyuarat yang berlangsung hari ini turut bersetuju untuk mempelawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi menaja program-program sukan.

“Hal ini adalah bagi memangkinkan pembangunan sukan melalui penglibatan pelbagai pemegang taruh terutamanya pihak GLC,” ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan memperuntukkan waktu bagi kakitangan kerajaan beriadah setiap minggu sebagai langkah untuk memastikan taraf kesihatan penjawat awam di tahap optimum.   

“Justeru kerajaan akan menawarkan langkah preventif iaitu semua kementerian perlu memperuntukkan waktu untuk kakitangan kerajaan melaksanakan aktiviti sukan dan riadah setiap minggu,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast