Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Seorang jurugambar ditahan Jumaat (26 Mei) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melakukan amang seksual terhadap seorang murid lelaki di sebuah sekolah di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang pada 12 Mei lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Supt Md Noor Aehwan Mohammad berkata, lelaki warga tempatan berumur 39 tahun itu, ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang pada kira-kira 1.30 tengah hari susulan laporan polis yang dibuat bapa mangsa pada 26 Mei, selepas mangsa yang berumur 9 tahun mengadu dicabul ketika pulang dari sekolah pada 15 Mei.

Beliau berkata, kejadian itu, didakwa berlaku di sekolah berkenaan ketika program petting zoo yang diadakan sempena Bulan Panitia Sains pada 15 Mei, di mana lelaki berkenaan merupakan salah seorang daripada dua jurugambar luar, yang dipanggil pihak sekolah untuk merakam gambar sempena acara tersebut.

Ekoran kejadian itu, satu perjumpaan antara pihak sekolah, penjaga mangsa dan dua jurugambar yang bertugas, telah diadakan pada 23 Mei dan salah seorang jurugambar berkenaan dikatakan mengaku melakukan perbuatan tersebut.

Md Noor Aehwan berkata, pihak sekolah telah memutuskan untuk tidak lagi membenarkan kedua-dua jurugambar itu memasuki kawasan sekolah untuk program lain selepas ini, namun bapa mangsa yang tidak berpuashati dengan tindakan sekolah, telah membuat laporan polis pada 26 Mei yang membawa kepada penahanan lelaki itu.

Beliau ketika dihubungi hari ini berkata lelaki berkenaan, yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau, kini direman selama seminggu hingga 1 Jun ini.

Md Noor Aehwan juga berkata saksi pelajar lain juga dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan. – BERNAMA