Gambar hiasan

SYDNEY – Seorang lelaki Australia berjaya melepaskan dirinya selepas diserang buaya air masin ketika sedang menyelam di pantai sebuah pusat peranginan eksklusif di Queensland.

Marcus McGowan, 51, yang menceritakan detik-detik cemas itu berkata, dia berjaya keluar dari rahang reptilia itu dalam keadaan cedera.

Dia kemudian diterbangkan ke sebuah hospital di pulau berdekatan sebelum dihantar ke Cairns untuk rawatan lanjut.

McGowan berkata, dia berada di dalam air bersama isteri dan rakan-rakannya kira-kira 28 kilometer (km) dari Pulau Haggerstone berhampiran Cape York apabila dia digigit dari belakang.

“Saya sangka ia seekor jerung tetapi apabila saya cuba menepisnya, ia adalah seekor buaya.

“Saya berjaya membuka rahangnya untuk mengeluarkan kepala saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Buaya itu disyaki masih muda kemudian cuba menyerang mangsa buat kali kedua tetapi berjaya ditolaknya.

Serangan itu menyebabkan tangannya digigit.

Jabatan alam sekitar Queensland berkata, ia akan menyiasat kejadian itu, tetapi “buaya di lautan terbuka mungkin sukar untuk dikesan kerana haiwan itu sering melakukan perjalanan berpuluh-puluh kilometer setiap hari”.

Haggerstone Island Resort adalah tempat peranginan mewah dan eksklusif.

Seluruh pulau, kira-kira 600km di utara Cairns, tersedia untuk disewa pada harga AS$7,600 semalam. – Agensi

1 Komen

Comments are closed.