Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad serta yang lain berjalan di Denai Sungai Penchala semasa mengadakan lawatan kerja di Seksyen 14, Petaling Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 30 MEI 2023.

PETALING JAYA – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) merancang untuk menghidupkan semula Program Denai Sungai Kebangsaan (DSK).

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan itu sebagai langkah usaha pemuliharaan sungai di negara ini, selain memupuk rasa tanggungjawab dan sayanga kepada sungai yang merupakan salah satu aset negara.

“Kita akan lihat dan dapatkan belanjawan, sebab sebelum ini peruntukkan untuk DSK terhenti. Biasanya projek DSK kita tidak buat berasingan, ia dibuat bersama rakan badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti untuk membantu.

“Sebab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) hanya boleh membina infrastuktur untuk DSK tetapi dari segi penguatkuasaannya kita memerlukan penglibatan komuniti.

“Bagaimanapun, buat masa masa ini secara umum kita tiada bajet sepenuhnya untuk DSK. Kita akan berbincang dengan Kementerian Kewangan (MOF) untuk bawa perkara ini dalam Belanjawan 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pemberita selepas membuat lawatan kerja di DSK Sungai Penchala bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gasing, Rajiv Rishyakaran di sini, hari ini.

Tambah Nik Nazmi, pihaknya akan memperuntukkan RM2.5 juta bagi pembinaan selanjutnya projek DSK Sungai Penchala sepanjang 2.5 kilometer (KM) yang dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2023.

Katanya, langkah itu bagi pencegahan pencemaran melalui pendekatan kawalan penyelesaian berasaskan alam semula jadi yang boleh dijadikan sebagai kawasan rekreasi bagi penduduk sekitar.

“Kami sudah pun menyiapkan projek sepanjang 700 meter (untuk Sungai Pengchala) dengan kos sebanyak RM400,000 meliputi penjalan kaki, pengukuhan tebing sungai dan susur tangan (handrail).

“Tadi Rajiv meminta kami untuk mengembangkan projek itu bagi kedua-dua belah hingga ke Kuala Lumpur, saya difahamkan sekitar lebih 3 kilometer. Tapi diperingkat NRECC, kita boleh buat sebelah dahulu sehingga ke sempadan,” jelasya. – MalaysiaGazette