KUALA LUMPUR – Pertembungan mazhab yang berlaku di negara-negara Islam hingga membawa kehancuran akibat peperangan diharapkan tidak meresap dan dibawa ke Malaysia.
Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penyebaran fahaman mazhabiah itu boleh memudaratkan keharmonian masyarakat di negara ini dan umat Islam perlu mengelak diri daripada terpengaruh dengan gerakan tersebut.
“Memang amat membahayakan, sekarang kita tahu ianya diasaskan oleh pihak tertentu.
“Apa yang berlaku di Iraq dan Syria digunakan isu mazhab padahal mereka telah hidup rukun dan damai beribu tahun sebelum ini.
“Jadi fahaman itu janganlah dibawa dan membawa umat Islam terperangkap.
“Negara sama mazhab tapi berperang tak selesai iaitu Somalia. Ini soal puak pula.
“Negara orang Islam ini masih terkeluar daripada fahaman yang boleh menghancur dan melemahkan dunia Islam ini,” katanya kepada MalaysiaGazette di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menjadi penal dalam Bicara Buku Juang Mat Sabu sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023.
Dalam pada itu, Malaysia perlu mencontohi Arab Saudi yang memulakan langkah perdamaian dengan negara Islam lain.
“Kita harap keinsafan berlaku, sekarang ini Saudi telah menghulurkan tangan kepada Iran semula dan berlaku perundingan, perbincangan.
“Kita harap ini berlaku perubahan termasuk geopolitik tadi yang akan membawa satu era baharu kepada dunia Islam ,”katanya lagi. – MalaysiaGazette