KUALA LUMPUR- Bekas pembantu yang juga sekutu rapat Jho Low, Kee Kok Thiam disahkan meninggal dunia akibat strok.
Firma guaman Valen, Oh & Partners dalam kenyataannya hari ini berkata, ahli perniagaan yang dibawa pulang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) awal bulan lalu meninggal dunia di sebuah hospital, kelmarin.
Mendiang dikebumikan di tanah perkuburan cina Jinjang Selatan, jam 10 pagi hari ini.
“Kami menggesa semua pihak tidak melayan sebarang spekulasi berhubung peristiwa malang ini dan memberi ruang kepada keluarganya untuk bersedia atas pemergiannya,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, Kok Thiam yang memaklumkan lokasi Jho Low di Macau kepada pihak berkuasa Malaysia, meninggal dunia akibat sakit mengejut.
Ia susulan tular satu pemberitahuan memaklumkan mengenai kematian Kok Thiam, 56.
Sebelum ini, media melaporkan, Kok Thiam dan Jho Low dipercayai berada di Macau, selepas menghilangkan diri pada 2018.
Sumber SPRM berkata, hasil penggeledahan rumah lelaki berkenaan pada 3 Mei lalu juga mendapati, kira-kira RM30 juta termasuk aset dan akaun dikaitkan 1MDB diperoleh ahli perniagaan itu kemudian dibekukan.
Lelaki berkenaan yang juga seorang bekas pegawai 1MDB diserahkan notis perintah untuk hadir ke Ibu pejabat SPRM Putrajaya pada 10 pagi, 3 Mei lalu, selepas dia dibawa pulang SPRM ke Malaysia bagi siasatan lanjut berkaitan penyelewengan 1MDB dan SRC International.
Penyerahan notis itu dibuat selepas lelaki berkenaan tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA Terminal 2), pada 3.30 pagi, hasil kerjasama dengan agensi penguat kuasa dari luar negara.
Dalam pada itu, sumber berkenaan memaklumkan, siasatan badan itu bagi mendapatkan semula dana-dana 1MDB yang berkaitan, tetap berjalan meskipun dengan kematian Kok Thiam.- MalaysiaGazette