Foto: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu

KUALA TERENGGANU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan sebuah bot nelayan asing Vietnam dan merampas hasil laut bernilai RM1.5 juta di kedudukan jarak 116 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, pada petang Selasa.

Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Khairulanuar Abd Majid berkata, bot tersebut ditahan dalam oeprasi pada 1.20 tengah hari dan pemeriksaan ke atas bot mendapati 20 nelayan termasuk tekong dan kru berusia 18 hingga 49 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau berkata, ketika ditahan nelayan tersebut cuba melarikan diri ke sempadan perairan Vietnam tetapi berjaya ditahan.

“Tekong gagal menunjukkan sebarang kebenaran atau lesen menangkap ikan di perairan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairulanuar berkata, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen yang sah.

Beliau turut menasihati komuniti maritim tempatan supaya melaporkan sebarang perlakuan melanggar undang-undang dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999. – Bernama