Zed Zaidi

KUALA LUMPUR – Gabungan empat persatuan perfileman tempatan kesal terhadap kenyataan Awesome TV yang memberi gambaran bahawa Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil tidak mempunyai kuasa untuk menyelesaikan permasalah industri dan memperjuangkan nasib penggiat seni yang tertindas.

Ia susulan kenyataan Awesome TV kelmarin yang meminta supaya Fahmi tidak mencampuri hal-hal komersial stesen televisyen tempatan dengan pembekal-pembekalnya.

Terdahulu Fahmi menyarankan stesen TV berkenaan menyelesaikan isu bayaran tertunggak secara baik.

Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius isu bayaran tertunggak, dan ramai antara penerbit dan penggiat seni menyuarakan rasa kecewa.

Menurut Presiden PFM, Pansha, pelbagai isu dan konflik berkaitan Awesome TV telah dilaporkan dan sehingga kini masih belum dapat diselesaikan terutamanya berkaitan pembayaran kepada penerbit serta penggiat seni sehingga menimbulkan keadaan yang memalukan.

Artikel berkaitan: Tuduhan kepada Awesome TV tidak berasas

“Mengheret beberapa penerbit dan penggiat seni ke mahkamah untuk menyelesaikan isu dalaman penyiar, bukanlah satu solusi yang bijak, baik dan jujur.

“Masalah ini haru diselesaikan secara tuntas oleh Awesome TV tanpa melibatkan pihak lain termasuk menggunakan saluran media,” katanya.

Beliau turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang mengeluarkan lesen penyiar kepada Awesome TV supaya campur tangan untuk membantu menyelesai permasalah industri.

Sementara itu Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Dr Ahmad Ibrahim bersetuju dengan teguran Fahmi terhadap Awesome TV.

Beliau berkata, pihaknya turut menerima beberapa aduan daripada pengarah berkaitan kelewatan pembayaran oleh Awesome TV setelah kerja disiapkan hampir setahun.

“FDAM berharap Awesome TV segera menyelesaikan segala masalah dalaman berkaitan dengan pembayaran kepada penerbit atau penggiat seni demi kelangsungan hidup mereka yang hanya bersandarkan kepada kerjaya seni,” katanya.

Ahmad juga menyifatkan kenyataan Awesome TV terhadap teguran ikhlas Fahmi sangat tidak beretika dan tidak berbudi bahasa.

“Kami menyarankan Awesome TV memohon maaf secara terbuka kepada YB Fahmi atas kekasaran kenyataan. Kami juga khuatir perkara ini dieksploitasi pihak tertentu untuk dijadikan agenda politik,” katanya.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Rozaidi Abdul Jamil berkata, kenyataan Awesome TV telah menyinggung perasaan Fahmi dan juga seluruh penggiat seni tempatan.

“Seharusnya kita mengikut lunas undang-undang di bawah Akta SKMM. Kenyataan media itu memberi tempias kekecewaan anak seni kepada
penderiaan Awesome TV yang secara moralnya kenyataan itu seolah-olah sengaja dibuat untuk memalukan Menteri KKD dan mencabar kewibawaannya,” katanya.

Rozaidi turut menyarankan Awesome TV serta vendor lantikan stesen televisyen itu supaya berjumpa terus dengan Fahmi untuk meleraikan permasalahan dalaman mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Khalil Salleh berkata, pihaknya juga pernah menerima aduan pekerja-pekerja filen belakang tabir berhubung kelewatan pembayaran dari penerbit yang berurusan dengan Awesome TV.

“Apabila penerbita terkesan dengan kelewatan pembayaran yang tidak mematuhi perjanjian awal di antara penerbit dan penyiar, secara tidak langsung ianya membebankan pekerja di belakang tabir yang telah menyelesaikan tugas,” katanya.

PROFIMA, menurut beliau, menyokong penuh campur tanya menteri terhadap permasalah industri bagi membantu menyelesaikan masalah luar Awesome TV yang memberi kesan kepada semua pihak terutamanya penerbit.

“Sebagai penyiar yang telah dilesenkan oleh kerajaan, Awesome TV seharusnya mempunyai sikap yang lebih profesional, bertanggungjawab dan menerima baik teguran menteri,” katanya. – MalaysiaGazette