Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melihat galeri pameran selepas Perasmian Pameran Lukisan Orientalis: Cerminan atau Bayangan di Muzium Kesenian Islam Malaysia, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 02 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Keuntungan yang diraih oleh syarikat-syarikat konglomerat sewajarnya disumbang kepada industri seni dan sastera negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, syarikat besar dinasihat tidak hanya cenderung terhadap bidang tumpuan sahaja dan menyisihkan industri seni.

“Macam yang telah saya gesa, ada usaha dalam pelbagai bidang pendidikan, seni, teater untuk konglomerat ini berikan dukungan.

“Jika kita ada 30 syarikat besar yang beri sokongan dalam pelbagai bidang, maka ia akan memperkaya seni, sastera, budaya dan pendidikan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pameran Lukisan Orientalis: Cerminan atau Bayangan di Muzium Kesenian Islam di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Yayasan Al Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Syed Al Bukhary.

Jelas Anwar, orang ramai digalakkan mengunjungi pameran berkenaan yang dianjurkan oleh muzium tersebut kerana ia antara terbesar di dunia.

“Ramai tidak tahu pameran ini unik sebab belum dihebah dan dipersembahkan di dunia melainkan di Muzium London dan itu juga masih berskala kecil. Kalau skala besar, pameran ini yang pertama diadakan di dunia,” ujarnya.

Ia cukup istimewa apabila menampilkan koleksi pelbagai lukisan dari abad ke-19 yang tidak pernah dipamerkan di luar Eropah.

Lebih menarik, Muzium Kesenian Islam Malaysia menjadi antara pemilik koleksi lukisan orientalis terbesar di dunia. – MalaysiaGazette