KUALA LUMPUR – Mereka yang dipecat keahlian UMNO boleh hadir pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 yang bermula 7 Jun ini.
Bagaimanapun, Setiausaha Agungnya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kebenaran itu terhad di reruai (kawasan terbuka) jualan yang dibuka di sekitar Dewan Merdeka.
“Kita tidak pernah halang mereka yang dipecat ini untuk datang ke Dewan Merdeka. Sesiapa pun boleh masuk cumanya sudah tentu hanyalah perwakilan sahaja,” katanya pada sidang media sempena PAU 2023 di Menara Dato’ Onn, di sini, hari ini.
Asyraf secara berseloroh turut mengajak mereka yang dipecat untuk mendapatkan samping baharu di reruai berkenaan.
“Kita jemput mereka datang ke Dewan Merdeka. Kita ada 82 booth karnival jualan, kalau mereka mahu beli samping atau perbaharui samping UMNO pun boleh,” ujarnya yang ditanya sama ada mereka yang dipecat keahlian UMNO dijemput hadir ke PAU 2023.
PAU 2023 akan membuka tirai pada 7 hingga 10 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Januari lalu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat daripada parti itu.
Antara yang digantung keahlian pula ialah Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan bekas Ketua Penerangannya, Shahril Hamdan selama enam tahun. – MalaysiaGazette