Dua lelaki maut setelah motosikal yang dinaiki mangsa dirempuh kenderaan lain berhampiran Depoh Alam Flora di Kuantan, Pahang.

KUANTAN – Dua lelaki maut apabila motosikal yang ditunggang dirempuh sebuah kereta selepas mengubah haluan secara mengejut berhampiran Depoh Alam Flora, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian jam 7.52 pagi itu Yusof Ibrahim, 58 dan Ismail Jaafar,61, yang dalam perjalanan ke Kuantan dari Gebeng meninggal dunia di lokasi kemalangan.

”Ketika tiba di lokasi kejadian iaitu berhampiran Depoh Alam Flora, di sini, motosikal mangsa dikatakan telah mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan secara mengejut menyebabkan sebuah kereta dari arah sama di lorong kanan tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal terbabit.

“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa telah tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala menyebabkan  mereka meninggal dunia serta merta,” katanya dalam satu kenyataan sambil menambah pemandu kereta Nissan Almera berusia 32 tahun sakit di bahagian dada.

Menurut Wan Mohd Zahari, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette