KUALA LUMPUR – Bekas Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris yang digantung parti pada September 2021 secara rasmi kembali aktif dalam politik hari ini.
Nazar beliau sejak digantung tidak memotong rambut dan jambang ‘selagi tidak mempunyai tugas rasmi untuk berjuang demi agama, bangsa dan tanah air’ ditunaikan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Aku telah dipanggil secara rasmi untuk berjuang demi agama, bangsa dan tanah air dan bukan atas platform mana mana parti politik. Inilah apa yang aku harapkan dan inilah yang menjadi iltizam Aku untuk meneruskan perjuangan yang aku dah mulakan sejak 2008.
“Jadi tadi Tun Dr Mahathir potong sedikit rambut aku simbolik bagi nazar aku yang dah tertunai.
“Aku rasa nak menangis tadi sebab yelah, nak cakap pun payah pekara ni sebab aku sahaja yang lalui pahit manis perjuangan ni disamping keluarga dan sahabat sahabat yang kekal setia bersama dalam perjuangan ni,” katanya dalam perkongsian di media sosial.
Menurut Azri, beliau telah berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air sejak zaman menjadi blogger pada 2008 kerana menentang DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim Ibrahim.
“Sewaktu dalam UMNO pun aku buat pekara yang sama berjuang untuk ‘abata’ menyatupadukan bangsa dan lawan DAP dan Anwar Ibrahim.
“Jadi bila digantung parti UMNO sejak September 2021 tu aku ambil keputusan berehat dan bernazar yang dalam masa yang sama balik kepada agama Islam.
“Ramai yang panggil aku berjuang tetapi tak kena pada nazar aku malah sebelum PRU15 tempoh hari pun bermacam-macam panggilan dan tawaran di buat kepada aku untuk berjuang dan semua tu aku tolak kerana tidak kena pada apa yang aku nazarkan.
“Aku bukan nak berjuang kerana parti politik, aku tak nak pergi berjuang atas kerana parti. Aku dah bernazar perjuangan ke hadapan ni adalah menyatupadukan bangsa Melayu melangkaui politik kepartian,” kata Azri.
Tambahnya, beliau mahu memastikan kejayaan perpaduan Melayu melangkaui politik kepartian dan yang lehih penting demi agama, bangsa dan tanah air.
Azri digantung daripada UMNO selama enam tahun selepas didapati melanggar perlembagaan parti.
Ini termasuk fasal mengenai tata etika ahli supaya mematuhi arahan parti, melaksanakan dasar parti, mematuhi dan menghormati keputusan parti dan memelihara nama baik parti.-MalaysiaGazette