Mohamed Khaled merasmikan Penutupan Jom Masuk U di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 44 program pengajian di sembilan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dikenal pasti untuk dipendekkan tempoh pengajiannya daripada empat tahun kepada tiga tahun.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah memendekkan tempoh pengajian itu mampu membantu mengurangkan jumlah pinjaman atau kos pengajian yang perlu ditanggung oleh pelajar.

“Pada masa sama, ia membuka peluang untuk graduan memasuki pasaran kerja setahun lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutupan Jom Masuk U di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya hari ini.

Menurut Mohamed Khaled lagi, langkah berkenaan adalah usaha berterusan yang dilakukan pihaknya dalam mengemas kini dan menyusun program dan jurusan yang ditawarkan oleh IPT di seluruh negara dengan cara terbaik serta menguntungkan semua pihak.

Mengulas lanjut, beliau berkata pemendekan tempoh pengajian itu hanya membabitkan program dan jurusan di IPTA yang bermula pada tahun ini.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled berkata, seramai 10,000 mahasiswa dari golongan keluarga B40 dikecualikan daripada dikenakan yuran pengajian di 20 universiti awam.

Katanya, ia merupakan inisitif di bawah Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG) yang mula dilaksanakan tahun lalu.

Ujarnya, ia melibatkan seramai 10,000 mahasiswa yang juga wakil pertama daripada golongan tersebut.

“Inisiatif ini akan memberi implikasi kewangan keseluruhan kira-kira RM30 juta kepada semua universiti awam,” tambahnya.

Untuk rekod, Program SULUNG diperkenalkan oleh KPT bertujuan memberi peluang dan kemudahan kepada generasi pertama yang cemerlang dalam kalangan keluarga B40 melanjutkan pengajian ke menara gading. – MalaysiaGazette