Salah seorang penduduk, Hamzah mencari barang terbuang di kawasan runtuhan gempa bumi di Kahramanmaras, Turkiye.

KAHRAMANMARAS (TURKIYE) – Biar pun bencana gempa bumi hampir empat bulan berlalu di negara ini namun lelaki tua ini masih gigih datang ke kawasan runtuhan setiap hari.

Hamzah Akkok, 63, tanpa lelah tetap setia mencari barangan terpakai terutama kayu-kayu yang masih digunakan untuk keperluannya sekeluarga.

Bapa kepada lima anak sebelum ini menggunakan kayu-kayu yang dijumpai untuk dibakar sebagai pemanas haba sepanjang musim sejuk yang baru berlalu di negara ini.

Namun bagi Hamzah yang juga pesara, hidup mereka perlu diteruskan apabila wilayah yang dihuninya sejak itu digegarkan gempa paling kuat dalam tempoh 100 tahun di negaranya pada 6 Februari lalu.

“Setiap hari saya akan datang ke kawasan runtuhan untuk mencari kayu-kayu untuk dibakar untuk dijadikan unggun api kerana cuaca waktu malam masih sejuk walaupun musim sejuk baru berlalu.

“Selain itu, saya juga mencari barangan terpakai lain yang masih boleh digunakan di bawah timbunan runtuh yang sudah dibersihkan ini,” katanya yang tidak menghiraukan cuaca panas ketika melakukan kerja menyelongkar itu.

Mengimbau bencana ngeri itu, Hamzah mengakui keadaan berlaku dengan pantas kerana berlaku di awal pagi kerana dia dan keluarga sedang tidur.

Katanya, sebaik gegaran berlaku, keadaan menjadi kelam-kabut apabila bekalan elektrik terputus termasuk talian komunikasi.

Dia meluahkan rasa syukur kerana isteri dan anak-anaknya selamat pada bencana itu namun kehilangan tiga saudara rapat.

“Saya sedih kerana kehilangan ibu mentua dan dua kakak dalam bencana yang tidak duga namun bersyukur saudara yang lain terselamat.

“Bagi saya apa yang berlaku ini semua dugaan Allah dan ada hikmahnya. Sudah pasti penduduk di Kahramanmaras terutamanya sedih dengan apa yang berlaku namun yang pasti hidup perlu diteruskan,” katanya tanpa sedikit riak wajah sedih seolah-olah reda dengan apa yang berlaku.

Hamzah juga juga mengucapkan terima kasih kepada semua negara di dunia yang pantas menghantar pasukan mencari dan menyelamat untuk membantu mereka.

“Tidak lupa kepada pemimpin dan rakyat Malaysia yang sudi membantu kami dengan memberi sumbangan dan hadir sebagai sukarelawan,” katanya.

Hamzah ditemui MalaysiaGazette ketika mengikuti mmisi bantuan pasca gempa bumi Turkiye-Syria ke Turkiye anjuran PasRelief di sini.

Turut hadir, Pengarah PasRelief, Mohd. Yusni Matpiah yang juga Pengarah Sekretariat Tabung Aid4Turkiye&Syria.

Selain Mohd. Yusni, turut menyertai misi kali kelima ini adalah Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Sementara itu, pada pagi 6 Februari lalu, gempa bumi kuat melanda wilayah selatan Turkiye itu, menurut agensi bencana negara itu.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (Afad) Turkiye memaklumkan gempa bumi bermagnitud 7.4 berlaku pada 4.17 pagi (0117GMT) waktu tempatan dan berpusat di daerah Pazarcik.

Gempa berlaku pada kedalaman tujuh kilometer dan gegaran turut dirasai di wilayah lain termasuk Diyarbakir dan Gaziantep serta negara jiran termasuk Lubnan dan Syria.

AFAD turut menjangkakan sekurang-kurangnya 42,310 orang terbunuh akibat dua gempa bumi kuat itu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kahramanmaras masih bersisa duka selepas gempa bumi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast