Air sungai berhampiran Teratak River View Lubuk Hantu, Simpang Empat, Tanjung Malim yang masih keruh semalam. foto JBPM

IPOH – Air keruh dan arus deras menyukarkan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) melakukan selaman untuk mengesan kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas di sungai berdekatan Teratak River View Lubuk Hantu, Simpang Empat, Tanjung Malim, Sabtu lalu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pada pukul 4 pagi semalam, hujan lebat sehingga pukul 7 pagi menyebabkan arus deras, selain lubuk-lubuk kawasan yang ditumpukan kesemuanya keruh.

Beliau berkata, bagaimanapun didapati cuaca baik pada hari ini dengan air lebih jernih dan arus tidak deras berbanding semalam.

“Ini sungai berjeram, maka bukan sepanjang sungai ini dalam. Jadi dia ada lubuk-lubuk tertentu sahaja, kita pun bukan nak menyelam semua tempat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Memasuki hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR), Sabarodzi berkata, misi tersebut diteruskan kira-kira 8.30 pagi ini melibatkan 24 anggota bomba termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim, PPDA dari Ipoh, Kuala Kangsar dan Teluk Intan.

Penggunaan khidmat anjing pengesan (K9) bagi membantu mengesan mangsa juga diteruskan pagi ini, secara keseluruhan melibatkan 52 anggota lain-lain agensi.

Beliau berkata, pihaknya turut mewujudkan “trap point” dalam strategi dan taktikal menyelamat sejauh 2.5 kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

“Tubuh badan manusia ini kalau lemas, dalam tempoh 24 jam dia akan timbul. Malam tadi, kita risau dia (mangsa) dah lebih 24 jam, mungkin dia timbul,” katanya.

Pada masa sama, Sabarodzi berkata mangsa Edward Grang Anak Jenggut yang berusia lapan tahun dan berasal dari Sarawak merupakan anak kedua daripada tiga beradik.

Menurutnya mangsa ke lokasi tersebut untuk berkhemah bersama keluarganya sempena cuti sekolah minggu lalu, dan sepatutnya pulang pada petang hari kejadian.

Pada Sabtu, bomba menerima maklumat mangsa dikhuatiri lemas ketika mandi di sungai dengan berpakaian set baju renang berwarna hitam bertompok hijau ketika hilang pada 5.06 petang. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast