Tangkap layar video tular menunjukkan beberapa kakitangan kesihatan bertungkus-lumus membantu seorang pesakit dibawa menggunakan pengusung katil menuruni tangga susulan kerosakan lif di sebuah hospital di Melaka.

KUALA LUMPUR – Jawatan Exco Kesihatan Melaka yang digalas Ngwe Hee Sem ketika ini perlu dirombak semula kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu tidak mempunyai kelulusan setara dengan tanggungjawab itu.

Ketua Penerangan Pemuda Perikatan Nasional (PN), Dr Mohd Aleef Yusof berkata, ia perlu digalas ADUN yang mempunyai latar belakang doktor perubatan dan lebih memahami masalah sektor kesihatan awam di negeri itu

“Saya menyeru Ketua Menteri baharu, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh merombak semula jawatan Exco Kesihatan yang kini dipegang oleh ADUN Machap.

“Seharusnya jawatan ini dikekalkan kepada Adun Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh yang memegang portfolio ini sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mendedahkan video tular memaparkan seorang pesakit terpaksa dibawa turun menggunakan tangga susulan kerosakan lif di sebuah hospital di Melaka.

ADUN Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof

Video berdurasi 1 minit 14 saat yang dikongsi netizen di media sosial TikTok menunjukkan beberapa kakitangan hospital bertungkus-lumus membantu membawa pesakit menggunakan pengusung katil menuruni tangga.

Mengulas lanjut, Aleef menyifatkan kerosakan lif yang didakwa berlaku di Hospital Melaka itu suatu yang memalukan kerana fasiliti sedia jauh ketinggalan berbanding kemajuan negara hari ini.

“Saya selaku ADUN Sungai Udang melahirkan rasa kecewa dan sedih melihat keadaan fasiliti Hospital Melaka yang masih jauh ketinggalan.

“Pesakit kritikal terpaksa dibawa turun dengan menggunakan tangga dan ianya telah membebankan para penjawat awam kesihatan yang sedia ada terbeban.

“Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku ketika keadaan hospital ini yang saban hari semakin sesak dengan kedatangan pesakit,” katanya.

Katanya, Kerajaan Negeri Melaka perlu memandang serius insiden yang memalukan itu dan ia perlu diselesaikan dengan kadar segera bagi mengelakkan perkara sama berulang.

“Saya menyeru Kerajaan Negeri Melaka agar sentiasa peka dengan masalah yang kerap kali berlaku di Hospital Melaka ini.

“Pihak kerajaan mesti mempergiat usaha menaik taraf fasiliti di Hospital Melaka bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang lagi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Pindah pesakit kritikal guna tangga di Hospital Melaka kerana lif rosak luar jangka – Exco

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast