KUALA LUMPUR – Tiada keperluan mana-mana ahli UMNO yang dibuang daripada parti itu untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada 7 hingga 9 Jun ini.
Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan itu hanya menggambarkan mentaliti dan pemikiran semasa kepimpinan UMNO.
“Saya pasti orang ramai lebih rindu kepada UMNO yang asal. Tidak perlu pelawa ahli yang dibuang ke PAU 2023 secara menyindir dan sengaja berseloroh.
“Ia tidak membantu langsung usaha memulihkan kedudukan parti dalam memenangkan hati ahli-ahli di akar umbi,” katanya dalam hantaran terbaru di akaun Instagramnya, hari ini.
Sabtu lalu, media melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengalu-alukan bekas ahli atau ahli bukan perwakilan untuk hadir ke PAU2023 pada 7 hingga 10 Jun ini.
Zahid berkata, bekas ahli parti boleh datang sebagai pemerhati dan untuk mengubat kerinduan mereka terhadap suasana meriah perhimpunan tersebut.
Sebelum itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan secara berseloroh ‘mengajak’ mereka yang dipecat daripada parti itu untuk datang memperbaharui kain samping UMNO mereka pada PAU2023.
Hishammuddin yang juga bekas Menteri Pertahanan juga berkata, ahli atau pemimpin UMNO yang dipecat daripada parti tidak pernah rugi.
“Yang dibuang tidak rugi kerana parti telah pun menetapkan hukuman, tidak memerlukan khidmat kami lagi. Yang rugi ialah UMNO yang terkesan dari pelawaan sinikal sedemikian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
PAU: Kita tidak pernah halang mereka yang dipecat datang ke Dewan Merdeka – Asyraf