Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Malaysia ke Tanah Suci bagi musim 1444H/ 2023M, di Sepang hari ini.

SEPANG – Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru jemaah haji supaya sentiasa menjaga diri dan nama baik negara sepanjang berada di tanah suci.

Baginda bertitah, jemaah yang akan mengerjakan haji perlu sentiasa mengikuti panduan yang ditetapkan Tabung Haji.

“Kepada para bakal Haji sekalian, saya berharap agar tuan-tuan dan puan-puan akan sentiasa menjaga diri dan nama baik negara. Semasa di tanah suci kelak ikuti nasihat dan panduan kesihatan serta amalan pemakanan yang disarankan oleh Tabung Haji.

“Ambillah kesempatan menjadi tetamu Allah ini untuk beribadat dan beramal dengan bersungguh-sungguh hati,” titah baginda pada majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Malaysia ke Tanah Suci bagi musim 1444H/ 2023M, di sini, hari ini.

Selain itu, baginda bertitah supaya mereka mengambil pengajaran daripada kesatuan dan perpaduan ummah dalam perhimpunan terbesar di tanah suci.

“Untuk sama-sama kita jadikan tauladan serta pedoman dalam membentuk semangat perpaduan dan ikatan ukuwah di negara yang kita cintai ini,” titah baginda.

Dalam masa sama, YDPA menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan dan Tabung Haji yang sentiasa mengambil berat dan prihatin terhadap kebajikan dan keselesaan para jemaah.

Baginda berharap Tabung Haji akan terus melaksanakan peranannya sejajar dengan pengiktirafan sebagai sebuah modul pengurusan haji yang inovatif.

“Pada masa yang sama saya turut menyeru agar pihak Tabung Haji untuk terus mengambil langkah proaktif dalam menambah baik penyediaan perkhidmatan dan kemudahan infrastruktur kepada jemaah Haji negara,” titah baginda.

Baginda sempat menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi di atas kerjasama dan bantuan yang telah diberikan kepada Malaysia. – MalaysiaGazette