Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR – Dakwaan Menteri Besar Kedah mendakwa Perdana Menteri tidak layak bercakap hal kemiskinan rakyat satu usaha mengalihkan kemelut isu air di negerinya.

Setiausaha Agung Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor itu juga didakwa sengaja membawa isu Pulau Pinang milik Kedah juga dibuat bagi tujuan yang sama.

“Sanusi ini sahabat masa kami sama-sama dalam Pakatan Rakyat. Beliau supol (setiausaha politik) Almarhum Ustaz Azizan Razak MB Kedah tika itu. Kami saling mengenali langkah politik masing-masing.

“Isu Pulau Pinang milik Kedah dan serang PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berterusan tujuannya cuma satu .. rakyat Kedah dok marah pasai isu air. Kemarahan meluas. Apa lagi cara Sanusi utk kalih kemarahan ini?” soalnya dalam hantaran media sosialnya hari ini.

Baru-baru ini, Muhammad Sanusi mendakwa Anwar tidak layak bercakap hal kemiskinan kerana Perdana Menteri itu datang dari keluarga UMNO dan belajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

“Saya tak berniat nak berhujah panjang. Rakyat Malaysia tidaklah naif untuk telan hujah Sanusi,” ujar Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri.

Menurut beliau, Anwar masuk ISA kerana memperjuangkan isu kemiskinan di Baling dan membuka Yayasan Anda untuk pelajar miskin sambung belajar dan mengumumkan bantuan tunai kepada penanam padi pada minggu pertama dilantik menjadi perdana menteri. – MalaysiaGazette