KUALA LUMPUR – Semakan kehakiman yang di pohon oleh ibu bapa mendiang Teoh Beng Hock yang ditemukan mati 14 tahun lepas akan didengar oleh hakim baharu.
Mahkamah Tigggi, di sini, dimaklumkan Hakim Amarjeet Singh telah menarik diri daripada mendengar kes tersebut.
Ibu bapa Beng Hock memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan berhubung kematian anak mereka yang meninggal dunia pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor.
Amarjeet menarik diri kerana beliau pernah terlibat dalam Suruhanjaya Siasatan (RCI) bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock.
Pada 26 Januari 2011, RCI bagi menyiasat punca kematian bekas pembantu khas seorang pembantu kepada anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor itu ditubuhkan dengan penglibatan Amarjeet yang pada ketika itu merupakan Timbalan Ketua Bahagian Guaman I, Jabatan Peguam Negara.
Amarjeet dilantik sebagai pegawai pengendali suruhanjaya itu.
Perkara itu telah dimaklumkan Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly pada prosiding hari ini.
Ibu bapa Beng Hock iaitu Leong Hwee dan Shuw Hoi memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 4 Januari 2022 dengan menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, PDRM dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.
Pengurusan kes ini ditetapkan pada 10 Julai ini dengan kes akan didengar Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Beng Hock yang merupakan pembantu politik kepada Exco Selangor dan Adun DAP Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah mati selepas memberi keterangan kepada SPRM.
Pada 5 Januari 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Beng Hock pada 2009 bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh serta mendapati tiada pihak ketiga terlibat dalam kematiannya.
Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kematian Beng Hock memutuskan bahawa kematiannya akibat membunuh diri.
Namun pada 5 September 2014 Mahkamah Rayuan menukar keputusan dengan memutuskan bahawa kematiannya akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali. – MalaysiaGazette
















