Jangan cemas dan risau jika pesawat TUDM terbang rendah pada mulai hari ini hingga 10 Jun ini di ruang udara sekitar Lembah Klang khususnya di Putrajaya . - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini mengeluarkan nasihat kepada orang ramai agar tidak terkejut sekiranya melihat pesawat tentera terbang rendah di ruang udara sekitar Putrajaya.

Ini kerana Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang melakukan persiapan perbarisan bagi Istiadat Perbarisan Mengarak Panji-Panji Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tahun 2023.

TUDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan latihan persiapan istiadat perbarisan mengarak Panji-Panji YDPA Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu akan berlangsung bermula hari ini sehingga hari sebenar iaitu pada 10 Jun ini di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya.

“Perbarisan itu akan melibatkan terbang lintas hormat beberapa pesawat helikopter daripada Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

“Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan agar tidak cemas dan risau sekiranya melihatpesawat-pesawat tentera terbang rendah yang dapat disaksikan di beberapa  kawasan sekitar Lembah Klang terutamanya di ruang udara Putrajaya,” kata kenyataan yang sama.-MalaysiaGazette