KUALA LUMPUR – Kumpulan Johor Corporation (JCorp) mencatatkan keuntungan selepas cukai melebihi 100% kepada RM808 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (TK2022), berbanding RM379 juta pada TK2021.

Pencapaian tersebut bersandarkan pada jumlah pendapatan sebanyak RM5.7 bilion, iaitu peningkatan yang memberangsangkan sebanyak 12%. TK2022 turut menyaksikan JCorp mencatat keuntungan selepas cukai di peringkat syarikat sebanyak RM701 juta iaitu tertinggi yang pernah dicatatkan.

Pencapaian kumpulan yang cemerlang turut dipacu oleh prestasi kukuh yang direkodkan oleh kesemua segmen perniagaannya.

Keuntungan segmen Agribisnes mencatatkan RM1.85 bilion iaitu peningkatan sebanyak 13% berbanding TK2021, kesan daripada harga minyak sawit mentah (MSM)
dan isirung sawit (PK) yang tinggi.

Segmen Kesejahteraan & Kesihatan turut merekodkan peningkatan pendapatan yang kukuh dengan keuntungan sebanyak 13% berbanding tahun sebelumnya.

Pertambahan jumlah pesakit dalam dan pesakit luar sebanyak 50% dan 19% selain impak baik pelancongan penjagaan kesihatan turut menyumbang kepada pencapaian ini.

Manakala Segmen Hartanah & Infrastruktur kekal berdaya tahan menerusi pengukuhan perkembangan melalui penjualan tanah perindustrian dan hartanah kediaman.

Kini, segmen ini sedang menjalani penstrukturan semula ke arah potensi lebih baik dan mengoptimumkan pulangan.

Bagaimanapun, Segmen Makanan & Restoran merekodkan kerugian RM31 juta akibat penstrukturan semula bagi tujuan penyelarasan operasi dan transformasi ini dijangka dapat meningkatkan prestasi dan memacu keuntungan pada masa depan.

Sementara itu, jumlah aset bersih Kumpulan JCorp turut mencatatkan pertumbuhan sebanyak 7% iaitu RM10.5 bilion berbanding tahun kewangan sebelumnya dan merupakan pencapaian terbaik dalam sejarah sejak penubuhannya.

Pertumbuhan dalam aset bersih ini didorong oleh peningkatan kukuh menerusi keuntungan selepas cukai, menandakan penyata imbangan kumpulan yang kukuh dan
keupayaan untuk mencipta nilai untuk pemegang saham.

Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, Presiden & Ketua Eksekutif, Johor Corporation berkata, pencapaian memberangsangkan ini adalah hasil daripada Pelan Penciptaan Semula JCorp 3.0 yang secara tidak langsung menyumbang kepada kejayaan yang direkodkan pada TK2022.

“Ini adalah permulaan kerana kami kini adalah organisasi yang lebih mampan dan tangkas ke arah memacu impak yang lebih berkesan. Prestasi luar biasa bagi TK2022 didorong oleh kejayaan pelan penstrukturan semula korporat kami,” katanya.

Tambahnya, inisiatif merasionalisasikan aset dan penstrukturan semula kewangan JCorp turut memberi impak positif.

Kesemua inisiatif yang dirangka ini didorong oleh agenda penciptaan nilai, kecekapan penyampaian operasi serta menggalakkan budaya inovasi.

“Kesiapsiagaan kami untuk menyesuaikan diri dengan trend pasaran dan menghadapi cabaran yang secara tidak langsung meningkatkan daya tahan institusi dengan lebih ketara. Selain itu, inisiatif ke arah penstrukturan organisasi yang lebih tangkas dan transformasi digital yang komprehensif adalah penting dalam mengukuhkan asas dalam
melaksanakan transformasi JCorp menjadi organisasi yang dipacu oleh nilai (VDO).

“Kumpulan JCorp akan terus memberi penekanan terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). Seiring dengan ini, JCorp telah membangunkan Rangka Kerja Kemampanan serta menubuhkan Lembaga Jawatankuasa Kelestarian. Kami telah menetapkan sasaran dan komited untuk mencapai matlamat sifar bersih menjelang 2050. Ini didorong oleh Rangka Kerja Pengawasan bagi memastikan pulangan optimum untuk pemegang taruh kami,” ujarnya. – MalaysiaGazette