Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) menyaksikan MoU antara Kerajaan Negeri Pahang dan NPARK di Singapura hari ini.

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang melalui Majlis Biodiversiti Pahang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan National Parks Board of Singapore (NPARK) bagi perkongsian dan pertukaran program penyelidikan konservasi flora dan hidupan liar.

MoU ini juga merangkumi lawatan teknikal, mengenalpasti potensi inisiatif kajian, pendedahan pengurusan di pelbagai peringkat serta bahan data penyelidikan yang berkaitan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, menerusi MoU ini Pahang dan Singapura akan meningkatkan kerjasama terutamanya dalam memupuk kesedaran serta mendidik  masyarakat mengenai kepentingan konservasi flora dan hidupan liar.

Menurutnya, kerajaan negeri ini akan terus memfokuskan kepada pemeliharaan dan pemuliharaan alam dalam melaksanakan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)

MoU itu ditandatangani di Singapura hari ini oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun dan disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Zulkifli Yaacob.

Manakala Singapura diwakili oleh menterinya, Desmond Lee bersama  Ketua Pegawai Eksekutif NPARK, Hwang Yu-Ning.

Turut berkenan berangkat menyaksikan majlis itu ialah Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

Pada majlis berkenaan, baginda turut berkenan menanam pokok sepetir licin atau nama saintifiknya Sindora coriacea yang boleh membesar sehingga 60 meter ketinggian.

Buah pokok ini adalah makanan kepada hidupan liar.

Difahamkan kerjasama berkenaan dimeterai susulan dari lawatan Tengku Hassanal ke  Singapura pada 10 hingga 15 Mac tahun lalu. – MalaysiaGazette