KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia hari ini melancarkan Program Akreditasi Mandatori (MAP) Bahagian II: Leading for Impact (LIP) –
lanjutan kepada MAP sedia ada, yang kini dikenali sebagai MAP Bahagian I di bawah Kehendak Penyenaraian Pasaran Utama dan Pasaran ACE Bursa Malaysia (secara
kolektif, LR).
Fokus utama MAP adalah pada tadbir urus korporat, termasuk peranan, tugas dan liabiliti pengarah serta tanggungjawab lain di bawah LR.
Pembangunan LIP adalah selaras dengan Keutamaan Strategik Tadbir Urus Korporat SC 2021-2023, yang bertujuan untuk mengukuhkan keupayaan lembaga pengarah
dalam menangani aspek kemampanan.
Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, adalah penting bagi lembaga pengarah untuk terus mengikuti perkembangan berkaitan kemampanan supaya
mereka boleh mengurus risiko kemampanan dengan berkesan sambil memanfaatkan peluang baharu.
“Ini amat penting terutamanya apabila pihak berkepentingan menjadi semakin prihatin terhadap isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). LIP terus menekankan tumpuan SC untuk menyokong kepimpinan PLC yang berkesan dan mementingkan kemampanan,” katanya.
LR telah dipinda untuk memerlukan semua pengarah yang dilantik buat kali pertama di PLC Pasaran Utama dan ACE Bursa Malaysia serta pengarah pemohon penyenaraian
atau pemohon pemindahan untuk menghadiri LIP.
Keperluan ini akan berkuat kuasa pada 1 Ogos 2023.
Pengarah kali pertama dan pengarah pemohon penyenaraian dan pemohon pemindahan perlu melengkapkan program dalam tempoh 18 bulan dari tarikh pelantikan pengarah atau penerimaan masuk pemohon.
Pengarah sedia ada PLC di Pasaran Utama dan ACE Bursa Malaysia pula harus melengkapkan LIP dalam tempoh 24 bulan dari tarikh berkuat kuasa.
Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM) telah dilantik sebagai rakan kongsi pengetahuan untuk menjalankan LIP, selaras dengan mandat mereka untuk meningkatkan keberkesanan keseluruhan lembaga pengarah dan mempromosikan kecemerlangan tadbir urus yang dipacu kemampanan. ICDM juga merupakan rakan kongsi pengetahuan untuk MAP Bahagian I.
LIP telah disusun dengan teliti untuk memberi tumpuan kepada pengetahuan asas dan pertimbangan utama berkaitan kemampanan, termasuk soalan yang perlu ditujukan oleh lembaga pengarah kepada pihak pengurusan dalam usaha memastikan pengawasan yang lebih teguh dan berkesan terhadap risiko dan peluang kemampanan syarikat.
LIP juga akan menyediakan para pengarah dengan platform untuk melibatkan diri dan belajar daripada para pengarah lain.
Untuk butiran lanjut tentang pindaan LIP atau LR, sila rujuk:
• Butiran mengenai LIP akan disediakan di laman web ICDM di
https://lip.icdm.com.my/.
• Butiran mengenai pindaan LR boleh didapati di
https://www.bursamalaysia.com/regulation/listing_requirements/main_market/amen
dments_to_listing_requirements untuk Kehendak Penyenaraian Pasaran Utama dan
https://www.bursamalaysia.com/regulation/listing_requirements/ace_market/amend
ments_to_listing_requirements untuk Kehendak Penyenaraian Pasaran ACE. – MalaysiaGazette