Muhammad Faisal Hamzah

KUALA LUMPUR – Anak kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara berhubung pertuduhan mengemukakan invois penjualan minyak masak palsu.

Tertuduh, Muhammad Faisal Hamzah juga berdepan dengan tuduhan memiliki minyak masak bersubsidi melebihi had.

Hari ini, peguam mewakili tertuduh, Nasuha Badrul Din ketika pengurusan kes tersebut memberitahu Mahkamah Sesyen Seremban anak guamnya akan kemukakan representasi dalam masa terdekat.

Hakim Mahkamah Sesyen Mazni Nawi kemudian menetapkan 12 Julai ini bagi sebutan semula kes.

Pada 5 April lepas tertuduh bersama seorang lagi berjawatan pengarah dihadapkan ke mahkamah Seremban atas sembilan pertuduhan mengemukakan dokumen palsu dan memiliki barang kawalan minyak masak melebihi had dibenarkan.

Muhammad Faisal Hamzah dan Azizul Abdul Halim merupakan pengarah sebuah syarikat dikenali sebagai Syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd dan juga pemenang lesen borong barang kawalan berjadual iaitu minyak masak.

Difahamkan mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh telah memberikan maklumat palsu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) semasa mengemukakan maklumat dalam borang arahan maklumat yang berada dalam simpanan berkaitan barang kawalan di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 berhubung Dokumen / Invoice Penjualan Minyak Masak kepada Pasar Segar Din Maju.

Kesalahan itu dilakukan lebih kurang jam 5 petang di pejabat KPDN, Seremban 2 pada 12 Ogos 2022.

Berikutan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 8 (4) (b) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22 (2) akta sama.

Selaku pemegang lesen borong juga telah didapati melanggar Peraturan 9 (1) Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki barang kawalan berjadual jenis minyak masak melebihi had 50.00 MT.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama seksyen 22 (4) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette