Antara mayat yang ditemui terapung di Tasik Metropolitan Kepong, di sini, hari ini. Foto Ihsan JBPM KL

KUALA LUMPUR – Seorang bapa dipercayai mati lemas semasa menarik anaknya dipercayai sudah mati lebih awal ke tengah tasik di Taman Tasik Metropolitan Kepong, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan dua mayat itu sekitar pukul 10 pagi.

Sepasukan polis daripada Balai Polis Kepong telah tiba di tempat kejadian mendapati kedua-dua mayat lengkap berpakaian.

“Mayat wanita berusia 30 tahun ditemui dalam keadaan terapung manakala mayat lelaki berusia 72 tahun telah tenggelam di dasar tasik pada kedalaman 2 meter.

“Kedua-dua mangsa telah meninggal dunia sekitar satu jam sebelum ditemui dan punca awal kematian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat yang ditemui terapung di Tasik Metropolitan Kepong, Kuala Lumpur, hari ini. – JBPM KL

Ahmad Sukarno menambah, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dan dokumen pengenalan diri mangsa mendapati kedua-duanya mempunyai hubungan bapa dan anak.

Katanya, pihaknya juga telah mengesan ahli keluarga kedua-dua mayat terbabit dan memaklumkan perkara itu.

“Saksi yang melihat kejadian itu memaklumkan lelaki berkenaan telah mengheret mayat seorang wanita yang telah lemas ke dalam tasik.

“Saksi cuba memberikan bantuan dengan memujuk individu terbabit untuk naik ke atas tebing namun tidak diendahkan mangsa dan dia terus menuju ke arah tengah tasik sehingga lemas.

Kedua-dua mayat terbabit telah dirujuk ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu untuk menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis (IPD) Sentul di talian 03-40482206 atau Pegawai Penyiasat Sarjan Najib Endut dari Balai Polis Kepong di talian 03-62742222. – MalaysiaGazette