Salahuddin Ayub .

SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mengkaji mekanisme yang sesuai untuk menyelesaikan masalah kekurangan bekalan gula khususnya di luar bandar dan pada musim perayaan.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, antara mekanisme itu termasuk meningkatkan kadar bekalan gula berdasarkan krisis ketidakcukupan bahan makanan itu di pasaran sebelum ini.

“Bila orang Kuala Lumpur balik kampung (pada) Hari Raya Puasa, Hari Raya Haji, Tahun Baharu Cina, Gawai, Keamatan, isu timbul kadang-kala bekalan (gula) itu berkurangan.

“Atas pengalaman itu, kita boleh mengujurkan supaya bekalan (gula) di kampung-kampung atau kawasan pedalaman itu atau negeri terjejas akan dapat kita tingkatkan.

“(Langkah) perlu dibuat supaya tidak berlaku kekurangan bekalan pada musim-musim tertentu,” katanya pada sidang media selepas melakukan pemantauan dan lawatan kerja beliau ke kilang pembuatan gula di Central Sugars Refinery (CSR) Sdn. Bhd., di sini.

Tanpa menyatakan jumlah tertentu cadangan untuk menaikkan kadar bekalan gula di kawasan terjejas, beliau berkata, pihak akan menggunakan statistik terkini bagi mengukur keperluan tambahan yang berlaku di empat negeri sebelum ini.

“CSR boleh bantu kita, contohnya di Johor memerlukan 10,000 metrik tan atau di Kelantan memerlukan 12,000 atau 13,000 metrik tan pada musim perayaan lalu (hari raya).

“Kita sudah tahu dengan sebanyak itu kalau balik raya atau perayaan besar raya haji ini balik, berapa peratus dia kekurangan itu akan dapat kita tampungkan.

“Pemborong mungkin boleh menyimpan atau membeli bekalan yang lebih sedikit untuk menampung kekurangan itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast