KUALA LUMPUR – Malaysia telah mengenalpasti syarikat antarabangsa yang membiayai tuntutan lapan rakyat Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pemberi dana tersebut merupakan sebuah syarikat besar dan terkenal.
“Kita tahu siapa yang memberikan dana. Syarikat besar dan dikenali. Bukan (syarikat) Asia. Saya sangat berminat (mengetahui) siapa yang akan membayar kita Euro $100,000 yang dianugerahkan Mahkamah Rayuan Paris semalam,” kata Azalina.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, negara berdaulat seperti Malaysia tidak boleh diperkotak-katikan atas dasar peniagaan dan untuk mendapatkan komisyen sekali gus membuat keuntungan.
Sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia tegas Azalina akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit.
“Sepanjang yang kami tahu kita akan all out, sehingga kebenaran dinyatakan. Kita akan saman mereka untuk tuntut segala kos yang kita hadapi.
“Banyak kos yang kita keluarkan. Pergi sana sini, Dapatkan nasihat. Dapatkan peguam luar. Seseorang perlu membayar kos kita.
“Ya. Kita akan lakukan apa yang patut kita lakukan. Saya tidak akan jelaskan lebih lanjut apa yang akan kita buat, di mana dan bagaimana,” katanya.
Azalina menjelaskan, jika benar waris kesultanan Sulu tersebut mahu mendapatkan keadilan mereka boleh lakukan dengan membuat tuntutan di sebuah negara sahaja iaitu di Sepanyol.
Bagaimanapun tindakan kumpulan itu memfailkan tuntutan di beberapa buat negara Eropah jelas menunjukan bahawa mereka dan syarikat memberi dana berkenaan mahu membuat keuntungan ke atas Malaysia.
“Melihat ini gerakan lebih elemen untuk membuat duit. Kita tahu pemberi dana tindakan undang-undang itu selalunya mengambil 25 hingga 30 peratus daripada jumlah.
“Katakanlah (tuntutan) AS$15 bilion kalau dia betul dapat (kemenangan) 30 peratus itu tinggi. Ini bukan perniagaan, ini bukan syarikat. Ini bukan klausa timbang tara antarabangsa. Ini negara yang boleh diperkotak-katikkan,” tegas beliau.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Mahkamah Rayuan Paris semalam mengekalkan keputusan membenarkan Malaysia mencabar award yang diputuskan oleh Dr Gonzalo Stampa pada 25 Mei 2020 dalam kes tuntutan lapan rakyat Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.
Azalina berkata, keputusan itu bermaksud penuntut tidak boleh bergantung kepada award yang diputuskan di Perancis itu untuk sebarang tujuan.
Beliau yakin keputusan di Amsterdam, Belanda pada 27 Jun dan Luxembourg pada September juga akan memberi keputusan positif kepada Malaysia. – MalaysiaGazette
Tidaklah memeranjatkan kalau dibelakang semua ini adalah tangan ghaib orang dalam negara. Cuma tekqan sahaja
dam mana tau mungkin betul