beras SST nikotin rumah terbuka madani LGBTQ nik elin zurina
Ahmad Yahaya

KUALA LUMPUR – Tindakan mempertahankan naratif sejarah bahawa Pulau Pinang merupakan milik Kedah bukan suatu perlakuan jenayah.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, tidak ada sebarang merit untuk mengklasifikan mempertahankan fakta sejaran sebagai suatu bentuk hasutan yang termaktub di bawah Akta Hasutan.

“Pas Kedah turut menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. Pemilikan Pulau Pinang oleh Kedah adalah fakta sejarah yang tidak boleh diputarbelit bahkan mempunyai sokongan kajian yang kukuh.

“Perdana Menteri tidak harus secara berterusan mempolitikkan isu ini. Kecaman dan tekanan yang dihamburkan terhadap Kedah bertitik tolak daripada dendam kekalahan besar PH dalam PRU ke-15 yang lalu,” katanya dalam kenyataan.

Semalam Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tindakan segelintir pihak yang kononnya mahu ‘merungkai sejarah’ termasuk mendakwa Pulau Pinang milik Kedah, tidak sepatutnya dilakukan selepas negara mengecap kemerdekaan.

Perdana Menteri berkata, ini kerana tindakan tersebut boleh memberi implikasi besar kepada Malaysia dan negara-negara lain, yang mungkin juga berdepan tuntutan.

Sementara itu Ahmad berkata, pemilikan Kedah terhadap Pulau Pinang tidak boleh disamakan dengan tuntutan negara luar terhadap wilayah Malaysia.

“Pas Kedah turut berpegang kepada pendirian bahawa isu ini tidak harus disamakan dengan isu tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah mahupun hubungan Siam dengan Kedah.

“Isu Pulau Pinang milik Kedah yang dibangkitkan pada hari ini tidak melibatkan kedaulatan sempadan negara.

“Oleh itu, Pas Kedah yakin bahawa membahaskan fakta sejarah bukan suatu kesalahan jenayah,” katanya.

Tambah beliau, Kerajaan Kedah telah berulangkali menuntut hak pajakan Pulau Pinang, penyelesaian isu caj air mentah serta kelulusan projek Kedah Aerotropolis.

Malangnya kesemua isu itu menurutnya, sengaja didiamkan serta dilengahkan tidak sebagaimana pantasnya Perdana Menteri tersinggung dengan isu pemilikan Pulau Pinang.

Ahmad mendakwa, terdapat usaha membunuh karakter Sanusi dan kumpulan itu lebih berminat menjatuhkan Menteri Besar Kedah berbanding berbahas soal sejarah.

Dalam jawapan di Dewan Rakyat semalam, Perdana Menteri menolak dakwaan bahawa beliau tidak mengadakan sebarang pertemuan dengan Sanusi bagi mengadakan perbincangan berhubung tuntutan bayaran pajakan Pulau Pinang.

Anwar berkata, polis sudah memulakan siasatan mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan terhadap Sanusi berhubung kenyataan Pulau Pinang milik Kedah.

Menurut beliau sebahagian daripada laporan sudah dikemukakan kepada Peguam Negara dan sedang menunggu tindakan selanjutnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast