SC Securities Commission Azam Baki SICDA
Bangunan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 26 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mempelawa para sarjana untuk memohon penyertaan dalam Program Felo Sarjana Tamu (SIR) ke-12 dalam bidang Kewangan Islam, di Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) bagi sesi akademik 2023/24.

Program SIR terbuka kepada ahli akademik atau pengamal yang berkebolehan dalam menjalankan penyelidikan gunaan secara bebas mengenai topik kontemporari yang berkait rapat dengan pasaran modal Islam.

Bidang keutamaan termasuk kewangan sosial Islam, pelaburan berimpak, teknologi kewangan, kewangan peralihan dan yang berkaitan dengan pelaburan mampan dan bertanggungjawab.

Pemohon yang mempunyai kepakaran dalam kewangan Islam dan/atau disiplin yang berkait rapat dengan pengalaman praktikal yang luas dalam bidang berkaitan adalah digalakkan untuk memohon.

Pemohon yang berjaya dijangka akan menetap selama satu tahun akademik di OCIS mulai Oktober 2023.

Sebagai sebahagian daripada program, sarjana terpilih juga sesekali dikehendaki menyampaikan syarahan dan mengadakan seminar, terlibat dalam kajian kolaboratif, dan menyumbangkan tenaga kepada institusi berkaitan.

Program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan SC untuk memacu pembangunan global yang mampan bagi pasaran modal Islam, dengan kepimpinan pemikiran sebagai tonggak utama.

Tarikh tutup penyerahan permohonan ialah 19 Jun 2023. Sila layari https://www.oxcis.ac.uk/form/sc-ocis-islamic-finance-vf-2023- untuk memohon.

Untuk butiran lanjut mengenai Program SIR, sila lawati bahagian Visiting Fellowship di laman web OCIS di www.oxcis.ac.uk. – MalaysiaGazette