Tabung Pendidikan Melayu
Ahmad Zahid Hamidi melancarkan Tabung Pendidikan Melayu sambil diiringi Mohamad Hasan dan Asyraf Wajdi Dusuki di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini. (Gambar: Facebook Datuk Seri Jalaluddin Alias)

KUALA LUMPUR – Tabung Pendidikan Melayu yang dilancarkan oleh UMNO hari ini terbuka kepada mana-mana pelajar Melayu dan bumiputera yang memerlukan bantuan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, bantuan yang disalurkan melalui tabung tersebut tidak hanya terhad kepada anak-anak ahli UMNO sahaja.

“Tabung Pendidikan Melayu digagaskan ideanya oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi yang lepas.

“Ia bagi membantu anak-anak Melayu yang memerlukan bantuan, contohnya (pelajar) yang menghadapi musibah atau tragedi secara sekali beri atau yang mahu melanjutkan pelajaran tetapi bermasalah untuk membayar wang pendahuluan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Tabung Pendidikan Melayu yang diadakan selepas Taklimat Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Pelancaran tabung tersebut disempurnakan oleh Ahmad Zahid semasa taklimat itu dan beliau serta timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan masing-masing menyumbang sebanyak RM5,000 dan RM3,000.

Asyraf Wajdi memberitahu, Tabung Pendidikan Melayu akan diaudit oleh pihak yang bertauliah.

“Ia adalah bagi memastikan penyampaian bantuan dilakukan secara telus dan dibentangkan secara terbuka,” jelasnya.

Beliau turut menyeru kepada semua ahli UMNO untuk bersama-sama menyumbang sekurang-kurangnya RM10 kepada tabung itu. – MalaysiaGazette