Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – UMNO perlu bekerja keras dan memastikan kemenangan semua kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang dijadual berlangsung tidak lama lagi.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada guna jika UMNO merasa kuat tetapi keberhasilannya tidak setara.

“Saya memberi pesanan kepada perwakilan yang hadir ke Taklimat Presiden tentang beberapa aspek terutamanya realiti politik baharu tanah air. Kita berada di dalam kerajaan Perpaduan dan kita adalah sebahagian daripada kerajaan.

“Kita tidak dominan, kita harus mengakui hakikat itu. Oleh yang demikian, PRN enam negeri ini mengundang kerja kuat kita dan membuktikan mana-mana kerusi yang dimuktamadkan untuk diberikan kepada kita hendaklah dimenangi.

“Tidak ada makna kalau kita merasa kuat tapi keberhasilannya kurang,” katanya ketika ditemui pemberita pada hari pertama Persidangan Agung UMNO (PAU) 2023, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan taklimat itu di hadapan kira-kira 3,000 para perwakilan yang hadir di Dewan Merdeka pada 3 petang tadi.

Ahmad Zahid pada masa sama turut mahu UMNO bangkit semula selepas kecundang pada Pilihan Raya Umum (PRU) dua kali berturut, iaitu ke-14 dan ke-15, dek perpecahan dalam parti.

“Kita harus tahu bahawa undi kita pada pilihan raya lalu cuma berada sekitar 23 peratus dan kerusi yang kita perolehi cuma sekitar 11 peratus. Dua kali kita kecundang dalam PRU iaitu ke-14 dan ke-15.

“Untuk bangkit, kita harus perbetulkan kelemahan kita. Dalam dua PRU lalu, kita asyik melayani titik perbezaan dalam kalangan kita.

“Kali ini kita mesti mencari titik persamaan dan bergerak ke hadapan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast