Empat suspek ditahan bagi membantu siasatan samun lelaki Bangladesh di Kulim, semalam.

KULIM – Polis berjaya menyelesaikan kes samun dalam tempoh kurang 12 jam selepas menahan empat lelaki dalam satu serbuan di sekitar daerah ini semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan yang diterima daripada seorang lelaki Bangladesh yang didakwa menjadi mangsa samun.

Jelas beliau, berdasarkan laporan mangsa, dia mendakwa kesemua empat suspek melakukan jenayah itu pada jam 6.20 pagi di Taman Tiram Indah di sini.

Mohd Redzuan.

“Bertindak atas maklumat tersebut pihak polis menahan empat lelaki berusia 20-an secara serentak sekitar Kulim pada jam 12.30 tengah hari selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan samun itu.

“Dalam serbuan tersebut, pihak polis turut merampas sebuah telefon bimbit serta kenderaan yang digunakan suspek semasa melakukan jenayah samun itu.

“Siasatan lanjut juga mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Redzuan, semakan mendapati salah seorang daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

“Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Kulim hari ini bagi mendapatkan permohonan reman.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan bersalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebat,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.