KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 akan membuat beberapa pindaan kepada perlembagaan parti termasuk fasal yang berkaitan dengan permohonan keahlian.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengesahkan perkara tersebut menjelaskan, pindaan itu membolehkan fasal keahlian dijadikan satu peraturan dalam parti.
“Perkara yang akan dipinda ialah fasal-fasal mengenai permohonan keahlian, terdapat satu fasal bahawa permohonan keahlian boleh dibuat secara dalam talian.
“Apa yang akan dibentangkan dalam mesyuarat agung luar biasa ialah untuk meminda fasal itu untuk dijadikan sebagai peraturan.
“Apabila jadi peraturan, ertinya majlis tertinggi mempunyai kuasa untuk meminda peraturan-peraturan dari segi permohonan keahlian.
“Jadi kita permudahkan, walaupun selama ini kita telah ada permohonan secara dalam talian, tapi kita akan menambah baik kaedah permohonan dan kelulusannya,” katanya pada sidang media di Laman Media PAU2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Terdahulu Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri melakukan lawatan ke Laman Media bagi menyantuni hampir 500 petugas media yang membuat liputan sepanjang empat hari dari 7 hingga 10 Jun ini. – MalaysiaGazette