Dr. Muhamad Akmal Saleh.- foto HAZROL ZAINAL, 05 DISEMBER 2019

SERAMAI 1,160 perwakilan Pemuda dari 190 bahagian yang mewakili 13,478 cawangan Pemuda UMNO seluruh negara hadir ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bagi sayap parti itu hari ini dengan membawa suara peringkat akar umbi.

Persidangan bermula semalam, yang dirasmikan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan tersemat 1001 semangat yang dijulang dengan keberanian, ketaatan dan kesetiaan.

Dr. Muhamad Akmal Saleh ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda pagi ini memulakan ucapan dengan melantunkan sebuah puisi bertajuk “Ini Rumah Kita”.

Bagi beliau, teguhnya rumah bukan soal berapa besar atau berapa gah, sebaliknya teguhnya rumah adalah apabila ia diisi dengan rasa berani, taat dan setia.

Ketua Pemuda itu berkata, berani, taat dan setia merupakan nilai yang membuatkan ahli parti terus kekal menyarung sepersalinan baju Melayu putih lengkap songkok dan bersamping.

Persalinan itulah yang terus menyarung tubuh Pemuda, sebagai sebuah lambang kesucian dan keikhlasan dalam perjuangan yang dipilih mereka.

Beliau menyindir sikap sesetengah pimpinan parti iaitu tatkala pengaruh dan sokongan terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) semakin merosot, mereka mula angkat kaki meninggalkan parti.

“Tatkala mungkin ada yang sudah malu untuk dikaitkan dengan nama Pemuda UMNO, terdapat sebuah ketumbukan Pemuda yang masih ‘degil’, ‘keras kepala’ dan ‘gila’ untuk terus berada di sini.

“Namun, di sebalik rasa ‘degil’, ‘keras kepala’ dan ‘gila’ kita untuk terus bersama parti keramat ini.

“Walau sepahit mana pun kita juga wajib menerima hakikat, bahawa sokongan terhadap UMNO hari ini, tidak sama dengan sokongan terhadap UMNO sewaktu hari pertama kita mendaftarkan diri sebagai ahlinya,” katanya.

Beliau juga mengingatkan ahli agar tidak terus dibuai dengan memori sejarah, sebaliknya patut menjadi guru yang membangkitkan, bukan dodoian yang melenakan.

Kata Dr. Muhamad Akmal lagi, kuatnya UMNO dahulu adalah hasil daripada jasa mereka yang terdahulu, bahkan realiti UMNO hari ini merupakan suatu amanah untuk ditangani.

Ucapan yang berlarutan hampir sejam itu turut digamatkan dengan sapaan tegas “hey” oleh Dr. Muhamad Akmal sebagai peringatan kepada pihak atasan terutama kerajaan perpaduan agar mendengar permasalahan rakyat.

Dengan rasa sedar, katanya, ketika ini Pemuda menjadi perhatian ramai baik dari dalam mahupun luar parti, malah beliau bersikap terbuka untuk mendengar pandangan, mengenai cara, kaedah dan bagaimana rumah Pemuda ini perlu diuruskan.

Namun, seperkara yang beliau cuba ingatkan, iaitu di sebalik pandangan, kritikan, tohmahan, penilaian dan apa sahaja ungkapan, hakikatnya, barisan Pemuda yang sedang menghuni rumah ini yang hadap, depani tanpa sesiapa pun dapat merasainya.

“Hanya kita juga yang tahu, rumah yang kita warisi ini, rosaknya di mana, bocornya di mana, tiang serinya sekuat mana,  kelengkapannya tinggal berapa.

“Sekarang, kita berada dalam situasi yang tidak pernah dilalui oleh mana-mana kepimpinan Pemuda sebelum ini. Parti yang selama ini kita lahir dan dewasa di dalamnya, menuntut kita menterjemahkan nilai kematangan, hasil dari proses pendewasaan yang kita lalui selama ini.

“Di sebalik gahnya UMNO sebagai parti terbesar orang Melayu dan Malaysia, yang memiliki 191 Bahagian di seluruh negara, hakikatnya UMNO merupakan antara parti terkecil dalam konfigurasi politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan hari ini,” katanya.

Namun, ada apa pada nama jika angka tidak segah namanya dan atas dasar itu, tanpa mahu menafikan kelebihan dan pengalaman mereka yang terdahulu daripada UMNO, di rumah yang sedang dihuni ini, merekalah abang, merekalah adik, merekalah adik beradik yang memaknakan isi rumah berkenaan.

Teguhnya rumah ini kerana mereka, kalau runtuhya rumah ini juga atas mereka.

Dalam ucapannya, Dr. Muhamad Akmal memberi keyakinan UMNO, parti kesayangan orang Melayu mampu kembali ke tempat yang pernah mereka duduki selama ini.

Tapi, keyakinan itu mestilah hadir dengan bersyarat iaitu berani buat perubahan.

Lihat sahaja prestasi pada PRU15, siapa sangka Pas dan parti Bersatu boleh mencapai 74 kerusi, tetapi tidak semestinya jumlah itu kekal menjelang PRU16 jika UMNO dalam keadaan mahu berubah. – MalaysiaGazette