Foto: IPD Arau

ARAU – Polis menahan seorang wanita yang sedang sarat hamil sembilan bulan bersama kakak angkatnya, kerana dipercayai mencuri dua utas gelang tangan emas bernilai RM45,000 dari sebuah kedai emas di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, pihaknya menerima aduan pada 5.52 petang semalam, daripada seorang jurujual sebuah kedai emas di pekan Arau bahawa seorang wanita telah datang ke kedainya kerana ingin membeli barang kemas.

“Ketika kejadian, suspek yang mengandung sembilan bulan meminta untuk melihat dua utas gelang tangan emas, yang dipamerkan di dalam meja pameran.

“Dia melihat barang kemas tersebut lebih kurang selama sepuluh minit, sebelum bertindak melarikannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Mohsin berkata, soal siasat awal mendapati suspek berusia 29 tahun itu, mengaku telah mencuri gelang tangan itu dan melarikan diri dengan membonceng sebuah motorsikal, yang dibawa oleh kakak angkatnya yang berusia 36 tahun, di hadapan kedai tersebut.

“Siasatan di tempat kejadian telah dijalankan, dibantu pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis dan telah berjaya menemukan kesan cap jari suspek berusia 29 tahun,” katanya.

Ahmad Mohsin berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Beliau berkata, suspek berusia 36 tahun direman selama tiga hari sehingga 11 Jun bagi membantu siasatan, manakala suspek berusia 29 tahun yang mengandung sembilan bulan dilepaskan dengan jaminan polis. – Bernama