kelantan kedah terengganu
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diiringi timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menaikkan bendera UMNO "Sang Saka Bangsa" sempena perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 09 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Pengundi-pengundi di Kelantan, Kedah dan Terengganu yang berada di perantauan dinasihatkan supaya memikirkan nasib ibu bapa mereka yang tinggal di negeri-negeri tersebut.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, banyak agenda pembangunan asas terutamanya di Kedah dan Kelantan memerlukan perubahan besar.

Menurut beliau, antara masalah yang melanda dua negeri berkenaan adalah rungutan rakyat mengenai bekalan air bersih.

Timbalan Perdana Menteri itu hairan mengapa masalah tersebut masih belum diselesaikan walaupun Pas telah memerintah Kelantan semala 33 tahun manakala seorang pemimpinnya pernah menjadi Menteri Alam Sekitar dan Air.

“Janganlah dek kerana satu undi yang kita berikan, kita akan terus membiarkan ibu ayah kita, berhadapan dengan kesulitan hidup berterusan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid menyeru rakyat di ketiga-tiga negeri berkenaan untuk melakukan perubahan pada pilihan raya negeri (PRN) nanti agar mereka dapat bersama dengan Kerajaan Malaysia Madani.

Dalam perkembangan sama, beliau mengakui bahawa UMNO memikul amanah yang amat besar kerana berdepan dengan PRN di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang dikategorikan sebagai Jalur Melayu.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu menegaskan, adalah menjadi tanggungjawab UMNO untuk membawa orang Melayu dan rakyat di negeri-negeri berkenaan untuk menjadi sebahagian daripada Kerajaan Madani yang benar-benar mencerminkan wajah Malaysia.

“Kita tidak mahu, negeri-negeri berkenaan diheret ke kancah fahaman politik yang memisahkan rakyatnya, daripada hakikat laman politik tanah air.

“Jika kita benar-benar mahu perkara-perkara dalam Perlembagaan Persekutuan terus dilaksanakan, kebersamaan dalam kerajaan di Putrajaya akan mengukuhkan agenda Islam Melayu yang sederhana dan progresif,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Ahmad Zahid menyatakan, UMNO bersama rakan politik dalam Kerajaan Perpaduan bertekad mahu mempertahankan penguasaan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan di samping memecahkan tembok penguasaan pihak lawan di Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Beliau menambah, dalam PRN di enam negeri, mereka akan berusaha meningkatkan keberadaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi mencerminkan kebersamaan Kerajaan Perpaduan.

“Selain itu, kita mahu membentuk Kerajaan Perpaduan dengan pembahagian pentadbiran negeri mengikut parti-parti teras dalam kerjasama di enam negeri yang terlibat,” katanya. – MalaysiaGazette