Hamisan (duduk) menunjukkan minuman keras yang dirampas dalam serbuan di George Town pada 29 Mei lalu.

SEBERANG PERAI – Dua lelaki ditahan bersama minuman keras tidak berkastam yang bernilai hampir RM1.12 juta di sebuah rumah di George Town, pada 29 Mei lalu.

Pengarah Kastam Pulau Pinang, Hamisan Kalip berkata, serbuan jam 5 petang itu dilakukan bertindak atas maklumat dan risikan.

“Hasil serbuan membawa kepada tangkapan dua lelaki berusia 40 dan 70 tahun.

“Turut ditemui dalam serbuan berkenaan 4,000 botol minuman keras dianggarkan bernilai RM423,367.50 dengan cukai sebanyak RM694,211.37,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Hamisan berkata, pihaknya menggagalkan cubaan menyeludup keluar 1.4 kilogram (kg) dadah heroin menggunakan perkhidmatan kurier selepas melakukan pemeriksaan di Kompleks Kargo Udara Kedua, Batu Maung pada Selasa lalu.

Hamisan (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pihaknya.

Jelas beliau, operasi jam 3.30 petang yang dilakukan pasukan dari Unit Narkotik menemui dadah terbabit disorokkan dalam enam bekas serbuk minuman suplemen.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiga daripada enam bekas serbuk minuman tersebut telah digantikan dengan kandungan dadah disyaki heroin.

“Malah, dadah terbabit dapat dibezakan melalui warna asal serbuk minuman suplemen itu yang berwarna krim berbanding heroin yang berwarna putih.

“Dadah bernilai RM132,375 itu dipercayai untuk dihantar ke sebuah negara di kawasan Oceania dengan membuat pengikraran sebagai satu produk makanan tambahan organik jenama tempatan,” ujarnya.

Tambah beliau, tiada tangkapan dibuat setakat ini berhubung kes tersebut susulan pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) semasa bungkusan ditinggalkan di pusat kurier.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiGazette