Hamisan (dua dari kiri) menunjukkan kepingan kayu gaharu yang dirampas pihaknya pada sidang media di Perai, Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG PERAI – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengagalkan cubaan seorang pelancong warga China menyeludup masuk 12.8 kilogram (kg) kepingan kayu gaharu menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas pada bulan lalu.

Pengarah Kastam negeri, Hamisan Kalip berkata, penumpang lelaki berusia 30-an itu ditahan di Balai Ketibaan Antarabangsa jam 10.05 malam sebaik tiba menerusi penerbangan dari sebuah negara jiran.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan kayu gaharu disyaki tidak berkastam dalam satu bagasi yang dibawa lelaki itu.

“Kepingan kayu gaharu bernilai RM35,626 termasuk cukai itu didapati dibawa masuk dari negara jiran bagi kegunaan ibadat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Tambah beliau, penumpang tersebut telah dikenakan kompaun dan membayar cukai selepas didapati bersalah, manakala barang dagangan itu telah dirampas dan dilucut hak.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967. – MalaysiaGazette