Semua 54 calon SPM 2022 di Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) lulus 100% bagi semua mata pelajaran yang didaftarkan dan mencatatkan 7 pelajar memperoleh 11 A

KUANTAN – Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) melakar sejarah tersendiri apabila terus merekodkan prestasi cemerlang dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 dan disenaraikan antara lima sekolah terbaik di peringkat nasional.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri berbangga dengan pencapaian MTNP yang memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) 1.20 dalam keputusan peperiksaan itu yang diumumkan pada Khamis.

“Rekod GPS itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun 2021 mana mencatatkan 1.54 dan1.50 pada tahun 2020.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada MTNP yang telah berjaya kekalkan prestasi cemerlang selama 9 tahun berturut-turut di peringkat negeri ini.

“Malah kejayaan ini juga meletakkan MTNP berada di kedudukan lima sekolah terbaik nasional,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Lebih membanggakan, katanya, kesemua 54 calon di institusi pendidikan agama milik negeri itu lulus 100 peratus bagi kesemua pelajaran.

Menurut beliau, pencapaian tersebut jugameletakkan MTNP sebagai sekolah terbaik mendahului sekolah-sekolah berprestasi tinggi dan berasrama penuh di Pahang.

“Ia juga meletakkan MTNP dalam kelompok lima sekolah terbaik di Malaysia sebaris dengan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak (SBPI Gombak), Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan dan Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya,” katanya.

Beliau berkata, daripada 54 calon menduduki peperiksaan SPM, tujuh calon berjaya mencatat keputusan cemerlang 11A, 10A (10 pelajar), 9A (17 pelajar) 8A (10 pelajar) dan 7A (11 pelajar).

Wan Rosdy turut berharap institusi pendidikan tahfiz yang ditubuhkan sejak 25 tahun lalu mengekalkan prestasi cemerlang pada masa akan datang dan melahirkan generasi anak Pahang yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang.

Difahamkan kesemua pelajar cemerlang itu juga telah berjaya khatam dan menghafaz 30 juzuk al-Quran manakala 40 daripadanya telah lulus ujian syahadah iaitu membaca secara hafazan tanpa salah bagi kategori 5, 10 dan 15 juzuk Al-Quran.

Pelajar MTNP aktif dalam kokurikulum seperti debat, sukan berkuda, golf, bolajaring, catur, selain inovasi dan robotik dari peringkat negeri, kebangsaan hingga ke peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette