SUBANG – Satu geng jenayah yang aktif terlibat dalam kegiatan samun rumah dan melarikan kenderaan dan barang berharga dengan memakai pelitup muka di sekitar Subang Jaya di sini berjaya dilumpuhkan polis.
Geng yang dikenali dengan gelaran Geng samun ‘Face Mask’ yang didalangi oleh suspek warga tempatan termasuk dua wanita akhirnya ditangkap dalam serbuan pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, tangkapan itu dibuat selepas seornag lelaki membuat laporan polis pada 4 Jun lalu mengadu bahawa rumahnya telah dipecah masuk penyamun.
Mangsa mendakwa rumahnya telah dimasuki oleh suspek disyaki dua lelaki menggunakan senjata pisau dan menyamun mangsa serta keluarganya selain melarikan kenderaan kereta jenis Honda City yang di parkir di hadapan rumah.
“Dalam kejadian tersebut, suspek memakai topeng muka turut mengikat mangsa yang
tinggal bersama iaitu isteri, ibu dan dua orang anak mangsa namun mangsa bernasib baik kerana tiada sebarang kecederaan berlaku dalam kejadian tersebut manakala kerugian mangsa dianggarkan lebih kurang RM60,000,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Tambah beliau, pihak forensik dari IPK Selangor turut dipanggil bagi menjalankan
siasatan di tempat kejadian sebelum mengesan swab peluh di tempat kejadian dan telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.
“Bertindak atas aduan mangsa dan hasil maklumat yang diterima, pada 9 Jun lalu sepasukan anggota polis dari Cawangan D9 BSJD Subang Jaya telah berjaya membuat tangkapan ke atas empat lelaki dan dua perempuan tempatan yang disyaki bertanggungjawab melakukan jenayah tersebut.
“Kesemua suspek ditahan secara berasingan menerusi serbuan yang dijalankan polis di Senawang, Negeri Sembilan dan di Putra Perdana Puchong, Selangor dan kesemua suspek adalah berusia lingkungan 27 hingga 32 tahun,” katanya lagi.
Ssiasatan dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun
berkumpulan menggunakan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua puluh tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahannya.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu curi kenderaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak
lebih dari tujuh tahun dan denda .
Kata Wan Azlan lagi, pemeriksaan lanjut ke atas suspek pasukannya turut berjaya membuat rampasan beberapa barangan peribadi yang digunakan untuk kegiatan samun iaitu dua bilah pisau, pakaian milik suspek, seunit pemutar skru serta
sepasang sarung tangan.
“Hasil dari soal siasat, kesemua suspek mengaku terlibat dengan kes ini dan mereka kini ditahan reman selama lima hari sehingga 14 Jun ini untuik membantu siasatan lanjut kes tersebut. – MalaysiaGazette