Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama tetamu yang hadir selepas majlis Hala Tuju Pembangunan Pendidikan dan Masa Depan Masyarakat India ketika di Shah Alam Convention Centre (SACC), Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 10 JUN 2023.

SHAH ALAM – Semua pemimpin masyarakat India perlu sepakat dengan satu hala tuju sekiranya mahu menyelesaikan semua isu melibatkan mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesepakatan semua pemimpin akan memudahkan pelaksanan terhadap semua usaha untuk membantu masyarakat India.

“Sudah tentu kita berbeza pandangan politik, dasar, ada pandangan yang keras tapi tidak boleh menolak kenyataan hanya dengan satu tekad, kesungguhan politik rangka yang kita pilih itu akan mudah dilaksanakan.

“Kita semua perlu saling bekerjasama antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Hala Tuju Pembangunan Pendidikan dan Masa Depan Masyarakat India.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan Pengerusi Jawatankuasa Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), Datuk R Ramanan.

Selain itu Anwar berkata, kayu ukur sebagai Perdana Menteri adalah apabila mampu membantu rakyat yang memerlukan.

“Berulang kali saya sebut saya tidak akan bangga jadi perdana menteri, tapi saya bangga bila dapat selesaikan masalah rakyat itu ukurannya bukan siapa (yang jadi perdana menteri), betulkah kita sudah tolong rakyat,” ujar beliau.

Terdahulu beliau menyebutkan semula peruntukan  untuk Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil yang diumum menerusi Bajet 2023 baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan tekadnya untuk menghapuskan kemiskinan tegar pada tahun ini.

“Saya sebut di Parlimen secara terbuka di Malaysia majoriti yang miskin adalah Melayu dalam kalangan Bumiputera tapi paling miskin adalah India, maka saya berani sebut itu adalah tanggungjawab saya untuk selesaikan tahun ini, tidak kira sama ada Cina, Melayu dan India,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast