Seorang penunggang motosikal maut manakala sembilan individu lain cedera ditimpa pokok tumbang di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, awal pagi tadi.

GEORGE TOWN – Seorang penunggang motosikal maut manakala sembilan individu termasuk seorang wanita hamil cedera akibat ditimpa pokok tumbang di Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, awal pagi tadi.

MalaysiaGazette difahamkan, remaja lelaki maut berusia 18 tahun yang menetap di Kampung Genting, Balik Pulau itu menunggang motosikal jenis Yamaha LC135.

Dalam kejadian jam 1.20 pagi itu, dua kereta serta tiga motosikal rosak akibat di hempap sebatang pokok dipercayai besar dua pemeluk manusia.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak A’azelan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 1.26 pagi.

Keadaan motosikal yang ditunggangi mangsa selepas dihempap pokok tumbang.

Katanya, seramai 18 anggota yang diketuai Sha’ari Mansor bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian kita didapati sebatang pokok menghempap beberapa kenderaan

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki dalam kereta jenis Mercedes-Benz manakala lima lagi mangsa terdiri daripada tiga wanita termasuk seorang wanita hamil, lelaki dan kanak-kanak menaiki Perodua Myvi.

“Selain itu, terdapat empat mangsa yang menaiki tiga motosikal berasingan terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah A’azelan, anggota bomba melakukan kerja menyelamat menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Remaja lelaki berusia 18 tahun yang juga penunggang motosikal didapati meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi penunggang motosikal lain masing-masing patah kaki akibat kejadian tersebut.

“Kesemua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi rawatan lanjut dan kes diserah kepada polis bagi tindakan.

“Susulan itu, kita dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melakukan kerja pembersihan di lokasi selepas kejadian dan operasi tamat pada jam 5.58 pagi,” katanya. – MalaysiaGazetee