BALIK PULAU – Dua parah manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Balik Pulau berhadapan stesen minyak Petronas di sini hari ini.
Kejadian 9 pagi itu berlaku selepas wanita berusia 59 tahun yang memandu sebuah kereta jenis Toyota Vios mengalami sakit dada secara tiba-tiba sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta dipandu lelaki berusia 58 tahun.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, akibat pertembungan antara dua kereta itu, tiga motosikal yang datang dari laluan sama tidak sempat mengelak lalu melanggar dua kenderaan berkenaan.
Jelas beliau, susulan itu, salah sebuah motosikal terbabas sebelum melanggar sebuah kereta di kawasan parkir berhampiran sebuah kedai makan.
“Akibat pelanggaran itu, dua penunggang motosikal masing-masing berusia 27 dan 28 tahun parah susulan patah paha serta kaki.
“Manakala empat lagi termasuk dua penunggang serta pembonceng motosikal mengalami kecederaan ringan.
“Pemandu kereta tidak mengalami kecederaan dan kesemua mangsa yang mengalami kecederaan telah menerima rawatan di Hospital Balik Pulau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Kamarul Rizal, kesemua mangsa terlibat dalam kemalangan itu mempunyai lesen memandu yang sah dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya menerusi talian 04 866 2222 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular rakaman video serta beberapa keping gambar membabitkan kemalangan tersebut yang menunjukkan salah seorang penunggang motosikal terperlanting masuk dalam longkang di bahu jalan berkenaan. – MalaysiaGazette