KAJANG – Masalah banjir yang dihadapi kira-kira 800 keluarga di 10 taman perumahan sekitar Jalan Reko berhampiran Sungai Langat sejak hampir sedekad lalu bakal diselesaikan kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata, projek-projek naik taraf longkang termasuk pemasangan ban sekitar kawasan sungai itu akan dilaksanakan.
“Kita baru dapat peruntukan RM450,000 bagi menaik taraf longkang-longkang di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang khususnya di Taman Hijau dulu. Longkang-longkang di Taman Mahkota, Taman Bangi kita akan buat secara berfasa.
“Selain itu, dua projek yang akan dibuat dalam masa terdekat iaitu kerja-kerja penstabilan dan pengukuhan tebing Sungai Langat termasuk mengorek pasir keluar akan disegerakan.
“Di Kampung Jambu juga sama iaitu kerja-kerja pembinaan ban Sungai Langat serta kerja-kerja berkaitan. Buat sementara waktu kita boleh kata masalah banjir di akan diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program serahan memorandum kepada agensi kerajaan dalam sesi dialog bersama Jawatankuasa Bertindak Henti Banjir dan penduduk setempat di Jalan Reko hari ini.
Turut hadir menyaksikan penyerahan memorandum itu Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.
Memorandum yang dikemukakan ialah memperbaiki reka bentuk sistem saliran larian air permukaan sedia ada yang cacat, menghentikan air dari luar masuk ke Taman Bangi melalui terowong di bawah lebuh raya SILK dengan membina tembok sepanjang parit di belakang Taman Sahabat dan Taman Bangi.
Memorandum itu antara lain menuntut parit sedia supaya dinaik taraf dan aras parit menuju ke saluran keluar ke Sungai Langat lebih rendah supaya laluan air lebih lancar.
Sementara itu, Syahredzan pula berkata, kerajaan Persekutuan telah memberi kelulusan untuk Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Langat.
Beliau berharap, dengan kelulusan dan pelan yang dibentangkan dapat menyelesaikan isu berkenaan dengan tuntas.
“Saya akan terus membawa isu ini di peringkat Persekutuan dan jika perlu ke Kamar Khas atau dibangkitkan di Parlimen serta panggil menteri untuk datang ke sini kita akan usahakan juga,” katanya. – MalaysiaGazette