Lori membawa muatan lebih dari had yang dibenarkan ditahan dan disaman oleh JPJ Selangor dalam operasi Jumaat lalu- Gambar iIhsan JPJ Selangor.

KUALA LUMPUR – Tindakan segelintir pemandu kenderaan berat yang membawa lebih muatan dengan alasan mahu mengejar trip dan mendapat komisen tinggi memakan diri apabila disaman pihak berkuasa.

Tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor itu dibuat menerusi Operasi Khas Lebih Muatan yang dilaksanakan secara ronda di sekitar negeri itu Jumaat lalu.

Pengarahnya, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, operasiĀ  bermula 12.15 tengah malam yang diketuai Ketua Bahagian Penguat Kuasa JPJ Selangor, Mazlini Yusof dengan dibantu sembilan pegawai.

“Dalam operasi itu, JPJ Selangor telah mengeluarkan 18 saman atas pelbagai kesalahan yang dilakukan oleh pemandu kenderaan berat iaitu lori.

“Sepanjang operasi sekatan itu, anggota JPJ berjaya mengesan empat kesalahan utama iaitu lebih muatan, tiada lesen memandu, tiada lesen perdagangan (GDL) dan cukai jalan tamat tempoh.

Lori membawa muatan lebih dari had yang dibenarkan ditahan dan disaman oleh JPJ Selangor dalam operasi Jumaat lalu.Ihsan JPJ Selangor

“Antara alasan yang diberi pemandu lori berat membawa lebihan muatan ialah kejar trip, arahan tauke dan komisen rendah jika muatan yang dibawa rata yang memaksa mereka membawa lebihan muatan walaupun sedar ia satu kesalahan disisi undang-undang,” katanya hari ini.

Tambah Khairul Khar, operasi pemantauan kenderaan berat membawa lebihan muatan itu dijalankan di sekitar Cheras, Batu 9, Meru, Kapar dan Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE).

JPJ Selangor, menurutnya, sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan dan serius ke atas semua jenis kenderaan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan.

Orang awam boleh menyalurkan sebarang aduan berkaitan kesalahan lalulintas kepada [email protected] atau platform aplikasi e-aduan beserta butiran pengadu dan butiran aduan.-MalaysiaGazette