KUALA LUMPUR – Tan Sri Lim Kit Siang berkata, polis menawarkan perlindungan keselamatan pada hari beliau menerima Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota di Istana Negara pada Isnin lalu.
Veteran DAP itu berkata, tawaran perlindungan itu diberikan oleh berikutan terdapat mesej buruk yang disebarkan pihak pelampau mengenai dirinya.
“Pada hari Isnin lalu, ketika saya dianugerahkan dengan gelaran ‘Tan Sri’ oleh Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong, pihak polis mahu memberikan perlindungan kepada saya.
“Memandangkan ada mesej-mesej buruk dari pihak pelampau yang menuduh saya kononnya sebagai mencetuskan rusuhan 13 Mei 1969; kononnya tidak dilahirkan di Malaysia sebaliknya dilahirkan di China dan datang ke Malaysia ketika saya berumur 18 tahun dan kononnya saya seorang komunis,” katanya.
Bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ sempena Hari Keputeraan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Dalam perkongsian di media sosial hari ini, Kit Siang mendakwa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sekali lagi memainkan isu 13 Mei dalam cubaan untuk memberikan amaran terhadap naratif palsu yang disebarkan oleh DAP untuk meraih sokongan orang muda Cina dan India.
“Sebenarnya Hadi yang sedang mencuba untuk mengubah pendirian rakyat Malaysia dengan menggunakan naratif palsu dan bukannya cuba untuk menggalakkan rakyat Malaysia untuk menjadi juara dunia dan memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada keamanan, persefahaman dan kepelbagaian di peringkat dunia.
“Saya telah katakan sebelum ini yang Hadi telah gagal untuk menjadi seorang pemimpin Islam yang bertanggungjawab, jujur dan dihormati kerana dia membuat tuduhan liar dan tidak masuk akal terhadap DAP dan saya yang tidak dapat dibuktikannya apabila dicabar.
“Saya memberikan tiga cabaran baharu kepada Hadi untuk membuktikan yang kononnya saya berada di Kuala Lumpur dan telah menjadi punca rusuhan 13 Mei 1969 kononnya saya dilahirkan di China dan bukannya Batu Pahat, Johor dan kononnya saya seorang komunis,” katanya.
Beliau menegaskan sejak tahun 1966 ketika DAP ditubuhkan, parti itu berjuang untuk mewakili semua rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum, agama dan kawasan.
Sejak dari pilihan raya umum pertama yang disertai DAP pada tahun 1969 parti itu sentiasa memberikan tawaran calon daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama. – MalaysiaGazette
















