KUALA LUMPUR – Saranan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Salleh untuk ‘mengembalikan’ pemimpin yang telah dipinggirkan dan dipecat kembali memperkasa parti itu dialu-alukan.
Malah kenyataan itu dianggap sebagai positif kerana Pemuda UMNO menunjukan sikap keterbukaan serta komitmen politik yang tinggi dalam mengembalikan para pemimpin yang dikatakan mempunyai pengaruh dari bawah akar umbi demi kelangsungan parti itu.
Menurut pemerhati politik, Dr Jeniri Amir kepada MalaysiaGazette, walaupun saranan itu positif dan baik namun pada masa sama, ia terpulang kepada kepimpinan tertinggi UMNO untuk menerima cadangan tersebut.
“Ini kerana tindakan disiplin yang diambil untuk pecat dan gantung itu sangat drastik, pastilah kesalahan yang dikemukan kepada badan displin bukan sesuatu yang dianggap remeh.
“Namun jika andainya saranan ini di terima juga oleh kepimpinan tertinggi, maka kita dapat lihat mereka juga sudah move on ke hadapan dengan keterbukaan dengan meletakkan parti sebagai nombor satu, imej UMNO juga akan berubah dengan keterbukaan ini.
“Pemimpin-pemimpin ini akan dilihat sebagai setia kepada parti dengan sanggup memaafkan dan menerima mereka kembali masuk dalam UMNO, juga yang telah digantung seperti Datuk Seri Hishamuddin yang mempunyai karisma dan aura sendiri bagi memastikan kemenangan kelak,” katanya.
Dr Jeniri mengulas kenyataan Dr Muhammad Akmal yang menegaskan barisan kepimpinan perlu menerima semula ahli yang dipecat dan digantung memandangkan parti itu kini berada di titik terendah dan perlu menerima sesiapa sahaja yang mahu membantu untuk memperkuatkan parti.
Beliau berkata demimian sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) semalam.
Dalam pada itu, Dr Jeniri juga mempersoalkan andai saranan dikemukan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu sebenarnya sudah ‘terlambat’.
“Timbul juga persoalan adakah pemimpin berpengaruh yang di pecat oleh UMNO ini seperti Tan Sri Noh Omar sertai Perikatan Nasional (PN) atau Tan Sri Annuar Musa yang kini sudah sah menjadi ahli Pas akan kembali selepas tawaran ini?
“Adakah tawaran ini sudah lambat setelah sekian lama? Adakah pemimpin-pemimpin ini dapat memaafkan tindakan UMNO terhadap mereka?
“Khairy Jamaluddin juga sudah ditawarkan sesuatu oleh PN dan difahamkan beliau akan bertemu dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang tawaran itu,” ujarnya. -MalaysiaGazette