mengkarung politik
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 yang berlangsung selama empat hari dari 7 Jun hingga semalam menitipkan sekurang-kurangnya 15 perkara daripada presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sama ada dalam Ucapan Dasar Presiden mahu pun Ucapan Penangguhan, Ahmad Zahid mengharapkan semua perwakilan dapat membawa semua amanatnya ke bahagian masing-masing.

Beliau juga mahu perwakilan menyulami pengisian penting dalam ucapannya tempoh hari untuk diterjemahkan kepada ahli akar umbi agar perjuangan kepada agama, bangsa dan negara terus diberkati.

Perkara 15 yang disifatkan sebagai pengisian penting itu ialah;

  1. UMNO bersetuju pendaftaran keahlian baharu secara online atau atas talian disegerakan dan dipermudahkan.
  2. UMNO bersetuju cadangan Ketua Wanita supaya menubuhkan TVET Khas untuk golongan wanita melalui UTeM dan Universiti Kolej Agro Sains Malaysia (RISDA).
  3. UMNO turut bersetuju saranan Puteri UMNO untuk menambah dua lagi bilik penjagaan kanak-kanak pada perhimpunan tahun hadapan bagi kemudahan ibu yang menghadiri PAU.
  4. Bersetuju dengan cadangan Puteri untuk merencana Kongres Ekonomi Melayu dan akan dijalankan secara bersama Pemuda dan Puteri UMNO.
  5. Bersetuju cadangan Jelajah Usahawan Halal untuk dilaksanakan di seluruh negara bagi merancakkan lagi pembangunan industri halal.
  6. Meminta Pengerusi MARA memperhalusi dan menyelesaikan isu berkaitan kebangkrapan atau insolvensi khususnya untuk anak-anak yang hendak membuat pinjaman Pendidikan MARA.
  7. Mengangkat cadangan untuk mengkaji dan mewujudkan semula Kementerian Wilayah Persekutuan.
  8. Majlis Hal Ehwal Wanita (HAWA) diteruskan bagi membina rangkaian dan jambatan penghubung antara UMNO, NGO, masyarakat sivil dan pakar rujuk.
  9. Mewujudkan Sekretariat Perpaduan Ilmu Malaysia Melalu Majlis Ulama UMNO Malaysia bagi mengumpulkan ilmuan Islam dari parti dan pertubuhan ulama.
  10. Bagi Pilihan Raya Negeri (PRN), UMNO akan memuktamadkan jumlah kerusi pada masa terdekat dan mendapat kerusi yang sepatutnya.
  11. Bagi isu disiplin parti, Lembaga Disiplin akan memperhalusi dan menilai kembali permohonan ahli yang dikenakan tindakan disiplin kembali bersama UMNO sebelum dibawa kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk dimuktamadkan.
  12. Presiden mengingatkan ahli parti agar tidak mengeluarkan kenyataan yang hanya membawa keburukan kepada parti dari luar.
  13. Menghargai penglibatan Yana, Datuk Nizar dan Datuk Nazif dalam UMNO bagi meneruskan legasi perjuangan bapanya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
  14. Bagi kebersamaan Kerajaan Perpaduan, Presiden maklum sejurus Ucapan Dasar, wakil DAP iaitu Anthony Loke ditanya media dan beliau menyatakan sokongan serta bersetuju dengan isi ucapan Presiden UMNO Malaysia.
  15. Tabung Pendidikan Melayu telah mengumpulkan setakat dua hari sebanyak RM1.3 juta daripada perwakilan, ahli perniagaan, usahawan dan pengunjung yang hadir sempena PAU tahun ini.

PAU 2023 diadakan selang lebih empat bulan daripada PAU 2022 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Januari lalu. – MalaysiaGazette