KUALA LUMPUR – Lebih 10,000 lubang di Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia telah ditampal sejak tahun 2022.
Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, sejumlah 8,519 lubang ditampal tahun lalu.
“Manakala, sehingga April 2023 berdasarkan laporan tampalan lubang di Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia sebanyak 2,138 bilangan potholes,” katanya ketika sesi Pertanyaa-pertanyaan bagi jawapan lisan di Dewan Rakyat.
Menurut beliau, Program Aku Janji Sifar Lubang telah dilaksanakan mulai 3 Julai 2020 di antara pihak Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya dan Syarikat Konsesi Jalan Persekutuan.
Program tersebut bagi memantau kerosakan jalan raya dan memperkukuhkan komitmen Kementerian Kerja Raya terhadap penyampaian perkhidmatan penyenggaraan Jalan Persekutuan.
Abdul Rahman berkata, di dalam Kontrak Penswastaan Penyenggaraan Jalan Persekutuan Malaysia saiz lubang yang perlu pembaikan adalah berukuran 200mm x 200mm dengan kedalaman 25mm dengan saiz maksimum berukuran 1000mm x 1000mm.
“Sekiranya, saiz ukuran kerosakan melebihi saiz potholes kerosakan tersebut diklasifikasikan sebagai kerosakan jalan dan memerlukan pembaikan secara kekal di bawah program penyenggaraan berkala pavemen,” kata beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Gua Musang (PN) Mohd. Azizi Abu Naim.
Sementara itu Abdul Rahman berkata, JKR Malaysia telah membangunkan satu Sistem Aplikasi Pemantauan Potholes (ASaPP) bagi memantau potholes secara atas talian di tapak melalui penggunaan aplikasi di telefon bimbit, tablet dan komputer di Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia.
Semua aduan berkaitan dengan tampalan lubang akan didaftarkan di dalam aplikasi tersebut.
Katanya, lubang yang ditemui akan terus ditampal serta direkodkan dalam sistem ASaPP yang boleh dicapai oleh semua pihak terlibat iaitu Ibu Pejabat JKR Malaysia, JKR Daerah dan syarikat konsesi penyenggaraan Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia.
Beliau menegaskan, kualiti tampalan perlu selaras dengan spesifikasi yang ditetapkan iaitu menggunakan rujukan Standard Specification for Roadworks JKR/SPJ/2008.
“Pihak JKR sentiasa memantau pelaksanaan kerja penampalan pothole bermula dari pemilihan bahan turapan yang diperolehi dari kuari yang telah diluluskan bagi menjamin hasil penampalan yang berkualiti dan dapat bertahan lama,” katanya. – MalaysiaGazette